Diet Seimbang, Gaya Hidup Aktif Elak Kolestrol Tinggi

Ramai orang takut apabila memperkatakan mengenai kolesterol dan mula mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan paras kolesterol dalam badan. Namun begitu, tahukah anda perasaan takut mengenai kolesterol akan terus menghantui hidup anda seandainya anda masih tidak mampu mengamalkan cara hidup sihat?

Tetapi jangan bimbang kerana kata kuncinya mudah saja, anda hanya perlu mengamalkan diet atau pemakanan seimbang serta menjalani kehidupan aktif untuk mengawal paras kolesterol sekali gus mengawal berat badan.

Nampak senang bukan? Namun sebenarnya dua perkara ini acapkali sukar dilakukan kerana kebanyakan kita sering terpengaruh dengan dorongan nafsu yang tinggi. Apatah lagi, Malaysia mempunyai kepelbagaian makanan termasuk jenis bergoreng dan bersantan, termasuk hidangan pencuci mulut seperti kek, coklat dan ais krim. Faktor kerap mengamalkan makanan tinggi lemak antaranya organ dalaman, daging merah, makanan laut dan telur kuning juga mampu menjadi faktor penyumbang terbesar kepada peningkatan paras kolesterol dalam darah.

Namun bijakkah anda sekiranya menyalahkan faktor pemakanan apabila rawatan menunjukkan paras kolesterol anda melebihi daripada aras sepatutnya? Bukankah anda boleh memilih untuk menentukan tahap kesihatan sendiri dan bukannya orang lain?

Menurut Pakar Pemakanan Hospital Pusrawi, Nurul Farhanah Md Fozi, anda adalah apa yang anda makan dan tiada jalan pintas untuk mendapat kesihatan sempurna melainkan menerusi pemakanan seimbang dan menjalani kehidupan aktif.

Kata-kata ini memang ada benarnya kerana punca utama sesuatu penyakit itu biasanya daripada pemakanan dan masalah pemakanan ini boleh dikawal menerusi pendedahan kesihatan serta disiplin diri yang tinggi. Oleh itu, pengawalan pemakanan individu perlu selari dengan prinsip makanan seimbang dan sihat mengikut piramid makanan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Ini boleh dilakukan dengan pengambilan makanan tinggi antioksidan yang kaya vitamin A, C dan E serta zink, selenium dan beta karotina. Jumlah pengambilan makanan berserat secukupnya juga mampu menghalang pelekatan kolesterol pada salur darah manakala makanan tinggi antioksidan mampu meneutralkan kandungan darah dalam badan," katanya.

Ramai sering beranggapan kolesterol hanya bersifat 'jahat' kerana membawa kemusnahan pada tubuh walhal pada dasarnya, kolesterol adalah sejenis bahan molekul lekit, seakan-akan lemak yang terdapat secara semula jadi dalam aliran darah serta sel tubuh badan. Kolesterol ini juga penting kerana menjadi sumber penghasilan sel tisu membran, hempedu, sesetengah hormon dan vitamin D dalam tubuh badan.

"Namun awas, aras kolesterol berlebihan juga boleh mendatangkan mudarat kerana berkemungkinan besar akan menyumbatkan dinding salur darah arteri lalu menyebabkan pengaliran darah menjadi perlahan dan terganggu. Keadaan sebegini amat merbahaya kerana boleh mengakibatkan berlakunya serangan jantung koronari," katanya.

Menurutnya, molekul kolesterol darah ini berasal daripada dua sumber iaitu sintesis tubuh badan (melalui hati dan usus) dan juga diet harian seseorang. Kolesterol terbahagi kepada dua jenis iaitu kolesterol 'baik' dan 'jahat'. Kolesterol jenis lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) adalah sejenis 'kolesterol baik' yang akan membawa kolesterol dari seluruh saluran darah ke organ hati kemudian hati akan memproses kolesterol untuk dikeluarkan dari tubuh.

"Lebih tinggi paras HDL, kolesterol yang tersimpan di dalam salur darah arteri akan berkurang dan ini akan melindungi fungsi dan tahap kesihatan jantung. Sebaliknya, 'kolesterol jahat' atau liporotein berketumpatan rendah (LDL) pula akan membawa kolesterol dari hati ke saluran darah di seluruh tubuh. Jadi, apabila semakin tinggi paras LDL di dalam badan, ini akan menyebabkan banyak kolesterol tersimpan di dalam salur darah.

"Ini memungkinkan pengumpulan dan penyumbatan kelompok kolesterol di dalam salur arteri seterusnya menghalang darah daripada mengalir lancar ke jantung. Hal ini meningkatkan risiko serangan jantung, strok dan kematian mengejut," katanya.

Bacaan paras kolesterol boleh diperoleh melalui hasil profil lipid daripada ujian darah. Seseorang itu dikatakan mempunyai masalah kolesterol tinggi (hypercholesterolemia) apabila mempunyai bacaan jumlah kolesterol melebihi paras normal iaitu 5.2 mmol/L dan jumlah aras kolesterol LDL darah melebihi 2.6 mmol/L.

Terdapat beberapa golongan berisiko yang boleh mendapat paras kolesterol tinggi seperti individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes, mempunyai sejarah penyakit metabolik (diabetes, penyakit tekanan darah tinggi dan serangan jantung), mempunyai sejarah keluarga yang turut mempunyai masalah kolesterol dan penyakit jantung, individu yang kurang aktif serta perokok tegar.



Menurut Nurul Farhanah, amalan pemakanan sihat dan seimbang dengan pengambilan hidangan lengkap bercirikan bijirin penuh berserat, jenis protein yang betul, sayur-sayuran dan buah-buahan yang mengandungi serat dan antioksidan yang tinggi serta lemak yang sihat mampu membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah. Antara saranannya adalah:

1. Makanan bijirin penuh dan tinggi serat

Makanan berserat kaya dengan serat larut yang dapat membantu menurunkan kolesterol tidak baik (LDL) dari dalam tubuh. Serat ini berfungsi seperti span yang menyerap kolesterol dan membuangnya bersama pembuangan sisa perkumuhan seharian. Sejumlah 10 gram hingga 15 gram serat larut yang diambil setiap hari mencukupi untuk menurunkan kadar LDL. Serat larut boleh ditemui dalam pisang, kacang buncis, barli, epal, prun dan pear.

Oat mengandung beta-glukan, yang membantu menyingkirkan kolesterol jahat. Untuk mendapatkan hasil terbaik, kita boleh membiasakan diri dengan menggantikan sarapan oat setiap hari. Minum dua gelas susu bersama sekurang-kurangnya tiga sudu makan oat setiap hari dapat menurunkan paras kolesterol.

2. Ikan dan asid lemak poli-tidak tepu omega-3

Kita disarankan memakan hidangan protein jenis ikan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu. Asid lemak tidak tepu omega-3 yang terkandung dalam ikan ini dikatakan mampu menurunkan paras kolesterol dalam badan. Di samping itu, omega-3 juga boleh menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko pembekuan darah.

Antara jenis ikan yang tinggi kandungan asid lemak tidak tepu ini adalah ikan laut dalam iaitu tuna, salmon, cencaru, sardin dan kembung. Sebaik-baiknya ikan ini disediakan dengan cara masakan yang dibakar, dipanggang, ditumis, dimasak sup atau dikukus.

3. Kekacang badam, walnut, pistachio dan soya

Kajian menunjukkan sesetengah protein jenis kekacang mampu menurunkan paras kolesterol dalam darah kerana mengandungi asid lemak tidak tepu yang tinggi. Asid lemak ini membantu menjadikan dinding pembuluh darah yang sihat dan bebas daripada pelekatan kolesterol.

Namun begitu, umumnya kekacang mengandungi kalori yang agak tinggi. Kajian menunjukkan pengambilan kacang jenis pistachio pada kadar 40 hingga 50 gram sudah cukup untuk memberikan kebaikan kepada jantung.

Tetapi awas kerana pengambilan secara berlebihan boleh mengakibatkan kegemukan sekali gus meningkatkan risiko serangan jantung. Sebaiknya, bersederhana dalam pengambilan jenis kekacang ini.

Makan atau minum soya sebanyak 20 hingga 30 gram setiap hari mampu mengurangi paras kolesterol. Ada banyak pilihan makanan yang berasaskan kacang soya seperti tauhu dan tempe.

4. Buah-buahan kaya antioksidan mengandungi vitamin A, C dan E

Buah-buahan sitrus masam seperti mangga, belimbing, oren, strawberi dan kiwi mengandungi vitamin C yang tinggi serta berupaya mencegah pelekatan kolesterol dalam salur darah. Sayuran dan buah berwarna terang seperti brokoli, tomato, lada benggala, labu kuning, ubi, buah zaitun, avokado, betik, aprikot dan sayuran berdaun mempunyai kandungan antioksidan seperti beta karotina, vitamin A dan E.

Panduan penjagaan lemak dan kolesterol mestilah saling berkaitan dengan prinsip pemakanan sihat mengikut piramid makanan Malaysia.

Berikut antara cara yang boleh dilakukan untuk memastikan tahap penjagaan kolesterol dan lemak terkawal.

* Elakkan pengambilan lemak trans seperti makanan diproses dan hidrogenasi seperti kek, biskut, snek pastri, sosej, nuget, burger, donut dan makanan lain yang mengandungi kolesterol jahat LDL yang akan merendahkan kolesterol baik HDL. Sebaiknya, pilih makanan komersial terproses berlabel tiada lemak trans setiap kali anda membeli-belah di pasar raya.

* Kurangkan kekerapan pengambilan makanan tinggi kolesterol seperti organ dalaman haiwan (hati, limfa, jantung, pedal dan otak), makanan laut (ketam, sotong, udang dan segala jenis kerang) dan jenis daging merah.

* Kurangkan pengambilan telur ini kerana sebiji kuning telur ayam mengandungi kira-kira 275 hingga 300 miligram (mg) kolesterol manakala kuning telur itik mengandungi 375 mg kolesterol.

* Justeru anda disarankan hanya mengambil dua biji kuning telur saja dalam seminggu. Sebaiknya, pilih telur ayam jenis rendah kolesterol.

* Pilih sapuan lemak jenis marjerin lembut yang mempunyai lemak tidak tepu seperti sapuan kanola atau lemak sayuran untuk sapuan pada roti. Sapuan mentega dihasilkan daripada sumber haiwan, maka ini boleh meningkatkan aras lemak dan kolesterol dalam darah.

* Tukar pengambilan susu penuh berkrim atau susu segar dengan susu rendah lemak atau susu skim. Gantikan juga santan dalam masakan kepada jenis susu ini. Krimer dan susu pekat manis yang sering digunakan dalam minuman seharian harus dihadkan pengambilannya kerana ia tinggi lemak tepu daripada minyak kelapa sawit yang boleh meningkatkan risiko salur darah tersumbat.

* Pilih kepelbagaian dalam makanan harian. Makanan bergoreng, berminyak dan bersantan perlu dihadkan pengambilannya dalam seminggu. Jadikan tabiat membuang lemak dan kulit pada daging ayam sebelum memasak. Seeloknya, gunakan sedikit minyak ketika memasak dan pelbagaikan jenis masakan rebus, panggang, kukus, rebus serta menggunakan ketuhar gelombang mikro selain menggoreng.

Apa yang boleh anda lakukan:

Seharusnya kalori atau tenaga yang dimakan harus sama dengan tenaga yang dibakar menerusi aktiviti harian. Ini bererti sekiranya kita makan 200 kalori makanan bermakna kita harus berlari sehingga hilang 200 kalori.

Lakukan aktiviti fizikal yang mengeluarkan peluh dan menggerakkan otot seperti berjoging, berbasikal, berenang atau melakukannya di gimnasium. Senaman juga mampu membuatkan badan berpeluh serta jantung berdegup kencang dan ini sangat baik untuk kesihatan badan.

Oleh Siti Zarinah Sahib

7 Punca Mengapa Anda Makan Banyak Kali


punca makan banyak 

Pasti anda pernah mengalami situasi dimana walaupun anda baru sahaja selepas makan, anda amat cepat untuk berasa lapar kembali. Ini akan membuatkan anda untuk makan banyak kali. Ianya tidak baik untuk penjagaan kesihatan. Jadi, apakah punca yang menyebabkan masalah ini?

(1) Minum terlalu banyak minuman manis- Hasil daripada kajian oleh University of California di San fransisco mendapati bahawa kandungan gula boleh menipu otak terhadap keinginan untuk makan lebih banyak. Ia menghalang hormon leptin daripada memberitahu otak bahawa anda telah mendapatkan makanan yang secukupnya.

(2) Makan makanan bertin- Makanan didalam tin terdedah kepada bahan kimia seperti bisphonel-A atau BPA, yang turut mempengaruhi hormon leptin seseorang. Ia akan menyebabkan seseorang untuk makan banyak kali dan juga dikatakan sebagai punca terhadap masalah obesiti.

(3) Sarapan pagi yang tidak mencukupi- Hasil kajian terhadap 6746 orang selama 4 tahun mendapati bahawa seseorang yang mengambil 300 kalori pada sarapan pagi akan meningkatkan pertambahan berat badan sebanyak 2 kali ganda berbanding orang yang mengambil 500 kalori. Ini kerana sarapan pagi yang tidak mencukupi akan menyebabkan seseorang untuk makan banyak kali sepanjang hari.

(4) Tidak makan sayur-sayuran- Khasiat didalam sayur-sayuran boleh membantu untuk seseorang berasa kenyang lebih lama dan ini dapat mengelakkan anda daripada makan banyak kali.

(5) Tidak minum teh kurang gula- Hasil daripada kajian mendapati bahawa seseorang yang minum teh kurang gula selepas makan akan membuatkan mereka berasa lebih kenyang dan secara tidak langsung dapat mengelakkan anda daripada makan banyak kali.

(6) Kurang minum air masak- Tubuh badan yang kurang air akan menyebabkan seseorang untuk makan lebih banyak kerana ia meningkatkan tahap kelaparan seseorang. Sebaiknya, sebelum makan anda perlu meminum air masak terlebih dahulu.

(7) Kebosanan- Hasil daripada kajian penyelidik Flinders University, Australia mendapati bahawa kebosanan akan meningkatkan keinginan seseorang untuk makan lebih banyak.

http://www.top5reason.com/index.php/7-punca-mengapa-anda-makan-banyak-kali/

4 Cara Untuk Mengelakkan Terlebih Makan


punca makan banyak 
Sekiranya anda perhatikan, negara-negara yang mempunyai masalah obesiti  adalah daripada negara yang berpendapatan tinggi seperti USA dan bahagian eropah. Ini disebabkan oleh kerana mereka tidak mempunyai halangan untuk menikmati makanan. Jadi, bagaimanakah cara terbaik untuk mengelakkan anda daripada terlebih makan?

(1) Dapatkan zat yang secukupnya dalam satu hidangan- Tubuh manusia memerlukan protein, karbohidrat dan lemak yang secukupnya untuk memberikan tenaga kepada badan. Dapatkan pakej lengkap ini dalam satu hidangan terutamanya pada waktu makan tengahari untuk mengelakkan anda daripada cepat berasa lapar.

(2) Kurangkan membeli atau menyimpan stok makanan ringan- Nafsu makan anda akan meningkat sekiranya melihat makanan yang terhidang. Makanan ringan yang hanya memerlukan penyediaan yang amat mudah akan lebih mempengaruhi anda untuk makan.

(3) Minum air- Pada waktu petang terutamanya selepas makan tengahhari, kebiasaannya anda akan berasa lebih cepat lapar. Ini disebabkan oleh tenaga anda telah banyak digunakan. Minum air suam atau teh panas untuk mengelakkan tubuh daripada terhidrasi dan secara tidak langsung akan membekalkan tenaga kepada anda.

(4) Makan mengikut masa- Rancang masa yang perlu anda makan. Ini secara tidak langsung akan melatih tubuh anda untuk mendapatkan makanan hanya pada waktu yang sepatutnya dan akan mengelakkan anda daripada terlebih makan.
satu tips yang paling baik untuk mengelakkan terlebih makan adalah “makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang”. Confirm anda semua tak akan terlebih makan ok :p
 http://www.top5reason.com/index.php/4-cara-untuk-mengelakkan-terlebih-makan/

Lemak Dalam Makanan

Lemak yang ada dalam makanan anda

Jika anda sedang dalam proses menguruskan badan, tip 10 senarai makanan yang tinggi dengan kandungan lemak tersembunyi perlulah diambil perhatian.

10 tip perlu tahu sumber lemak harian anda

  • Mayonis
Mayones atau (mayonnaise) adalah salah satu jenis sos yang dibuat dari bahan utama minyak sayuran, telur ayam dan cuka.
Setiap 100g mayones mengandungi 79gram lemak
Elakkan mencampurkan mayones dengan sandwic ayam dan tuna.
  • Kekacang
Kekacang terkandung dalam sebahagian diet seimbang.
Setiap 100g lemak mengandungi 77g lemak.
Kandungan lemak agak tinggi walaupun bebas kolesterol dan mengandungi asid lemak baik.
Anda patut pilih gajus dan kacang pea jika dalam proses menurunkan berat badan
  • Krim Kopi
Setiap 100g anda dihidangkan dengan krimer kopi ia mengandungi 50g
Gunakan susu rendah lemak atau bebas lemak ataupun susu tepung.
  • Mentega kacang
Ada 50g lemak dalam setiap 100g
Hadkan pengambilan kepada empat sudu kecil seminggu.
  • Kerepek kentang
Snek kerepek kentang setiap 100g mengandungi 35g
Baca kandungan komposisi makanan dengan berhati-hati kerana kandungan kalori berbeza bagi setiap produk. Bertih jagung biasa adalah pilihan terbaik daripada snek lain.
  • Keju
Ada 33g lemak setiap 100g keju.
Pilih keju rendah lemak. Hadkan juga pengambilan makanan yang banyak menggunakan keju seperti piza, sesetengah hidangan pasta dan sandwic.
  • Daging merah
Peratus lemak dalam daging sederhana tinggi
Setiap 100g hanya mengandungi 31g lemak
Masalah anda ialah berlebihan daging dalam menu anda. Belilah daging tidak berlemak termasuk ikan dan ayam yang dibuang kulit. Elakkan sebarang bentuk daging yang mengandungi lemak nyata seperti sosej dan salami.
  • Pai dan pastri
Setiap 100g pai ayam ada 23g lemak
Singkirkan pai dan pastri (croissants) daripada menu sekiranya anda ingin mengurangkan berat badan. Makanlah makanan bijirin penuh atau gandum.
  • Makanan goreng minyak banyak
Anda tahu tak setiap 100g donat mengandungi 22g lemak
Menggoreng minyak banyak merupakan cara memasak yang paling tidak baik. Pilih teknik membakar, gril atau merebus sebagai cara memasak.
  • Avokado
Lemak mono tidak tepu baik untuk diet seimbang.
Setiap 100g avokado mengandungi 17g lemak.
Jangan makan avokado secara berlebihan. Avokado pun boleh meningkatkan berat badan.

http://www.cybermedik.com/tip/lemak-dalam-makanan

Kaitan Psikologi dan Obesiti


BERAT badan berlebihan dan obesiti! Mungkin subjek ini membosankan bagi sesetengah pihak kerana sering diutarakan melalui media cetak dan elektronik. Namun, isu berat badan bukan hanya melibatkan kesihatan fizikal badan, malahan turut memberi kesan kepada psikologi dan kesihatan mental.

Kesihatan mental yang disebutkan bukanlah mengaitkan obesiti dengan penyakit ‘gila’ atau masalah otak tetapi lebih kepada kesan kepada emosi individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes hasil interaksi sosial.

Mengimbas zaman sekolah, boleh dikatakan hampir semua daripada kita mempunyai interaksi dengan individu dengan berat badan berlebihan. Boleh dikatakan di mana sahaja seseorang yang ‘besar’ badannya bersekolah, pasti ada yang mendiskriminasi atau mengejek. Ini mungkin akan meninggalkan kesan psikologi kepada kanak-kanak tersebut, menyebabkan tahap keyakinan dirinya semakin rendah.

Kesan diskriminasi pada usia muda ini akan dibawa sehingga mereka dewasa dan mungkin membawa kepada masalah hidup yang menjejaskan tahap kepuasan hidup individu yang berbadan besar. Pelbagai kajian untuk mengukur kesan saiz badan terhadap psikologi seseorang telah dijalankan di luar negara. Sebagai kesinambungan terhadap kajian di Barat, satu kajian hampir serupa telah dimulakan di Malaysia.

l Kajian awal, kajian tempatan

Pesyarah Kanan Psikologi, Unit Psikologi Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan Bersepadu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Alvin Ng menjelaskan selalunya wujud diskriminasi dan prasangka orang yang gemuk atau berat badan berlebihan pemalas, kurang kawalan diri atau kurang personaliti.

“Diskriminasi juga bermula dari usia muda. Pandangan negatif ini boleh menyebabkan individu dengan berat badan berlebihan atau obes berisiko mempunyai masalah keyakinan diri yang rendah.

“Beberapa kajian sebelum ini menunjukkan peningkatan masalah psikologi (seperti keyakinan diri) dengan Indeks Jisim Badan (BMI),” katanya.

Untuk melihat jika berat badan, BMI dan saiz pinggang seseorang memberi kesan psikologi, Dr. Ng menyusun satu kajian awal untuk melihat kaitannya dengan tahap keyakinan diri dan juga kepuasan hidup.

Kajian sebegini dikatakan belum pernah dijalankan di Malaysia. Kajian serupa di negara-negara lain pula mendapati peningkatan BMI bukan sahaja meningkatkan risiko penyakit seperti kanser, diabetes dan tekanan darah tinggi malahan menyebabkan penurunan tahap keyakinan diri dan juga kepuasan hidup.

Menurut Dr. Ng, kajian ini dapat melihat kualiti hidup secara umum di mana secara psikologi, adakah seseorang itu bahagia dengan hidupnya atau tidak.

“Kajian luar sebelum ini menunjukkan kaitan BMI yang tinggi dengan masalah psikologi. Ini dapat difahami melalui kemungkinan seseorang individu itu lebih mudah menghadapi kemurungan jika mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah.

“Jika menunjukkan hasil serupa dengan kajian lain, implikasi kajian ini dapat menekankan pentingnya pengawalan berat badan yang sihat untuk menjalani hidup lebih bahagia,” ujarnya.

Kajian tersebut dimulakan pada awal 2008 selama dua minggu di kawasan bandar. Sebanyak 322 peserta dipilih secara rawak di pusat membeli belah sekitar kawasan Lembah Klang untuk sesi temuramah dan soal jawab. Peserta yang dipilih juga terdiri daripada mereka yang mempunyai berat badan normal atau lebih sahaja, tanpa mengira saiz atau bentuk badan dan antara umur 25 hingga 40 tahun.

Pecahan etnik peserta juga sekata antara Melayu, Cina dan India tetapi sebahagian besarnya merangkumi golongan wanita (65 peratus).

* Kesan saiz pinggang


Hasil kajian berkenaan menunjukkan purata berat badan 67.8 kilogram, purata ukur lilit pinggang 31.1 inci dan purata BMI 25.08.

Bagaimanapun, Dr. Ng menegaskan penemuan utama kajian ini adalah kaitan antara saiz ukur lilit pinggang dengan tahap kepuasan hidup.

“Tahap kepuasan hidup boleh diterjemahkan sebagai tahap kegembiraan atau kebahagiaan hidup. Kajian ini menunjukkan individu yang mempunyai pinggang yang lebih ramping mempunyai kepuasan hidup lebih tinggi atau lebih gembira dengan hidup mereka,” jelasnya.

Namun, beliau menekankan pinggang yang ramping bukan bererti kurus tetapi lebih kepada saiz pinggang yang normal dan sihat.

Tambahnya, kaitan kurus sebagai sihat juga kurang tepat kerana individu dengan berat badan terlalu rendah juga menghadapi pelbagai risiko penyakit.

Dr. Ng menyatakan hasil kajian ini juga jelas menunjukkan individu dengan berat badan berlebihan atau obes boleh meningkatkan tahap kesihatan badan dari segi fizikal, mental (psikologi) dan perspektif sosial dengan mengikuti program menurunkan berat badan.

Peningkatan di dalam kepuasan hidup dan keyakinan diri akan membawa kepada tahap perhubungan yang lebih baik, kepuasan dalam perhubungan sedia ada dan menghargai diri sendiri.

“Purata BMI peserta berada dalam kategori berat badan berlebihan (25.08). Ini mengunjurkan berat badan masyarakat bandar (lelaki dan wanita) semakin meningkat, mungkin disebabkan kurang pergerakan (berjalan) dan lebih banyak pilihan makanan.

“Memandangkan kepuasan hidup meningkat selari dengan penurunan saiz pinggang, mungkin sudah sampai masanya kita mengawal berat badan ukur lilit pinggang,” katanya.

* Luar jangkaan

Walaupun kaitan rapat ukur lilit pinggang dan tahap kepuasan hidup sama seperti yang dijangkakan, seperti kajian-kajian serupa di luar negara, hubungkait melibatkan ukur lilit pinggang, BMI dan keyakinan diri didapati berbeza dengan kajian lain.

Dr. Ng memaklumkan ukur lilit pinggang tidak mempunyai kaitan rapat dengan tahap keyakinan diri penduduk negara ini, berbanding tahap kepuasan hidup.

“Kebiasaannya, keyakinan diri yang tinggi seiring dengan tahap kepuasan hidup yang tinggi, tetapi ini tidak ditonjolkan maklumat dari kajian tempatan itu.

“Mengapa saiz pinggang kurang kesannya terhadap keyakinan diri? Mungkin rakyat Malaysia sudah menerima ukur lilit pinggang yang besar sebagai sesuatu perkara yang biasa dan tidak memberi kesan kepada kehidupan seharian,” ujarnya.

Dr. Ng mempersoalkan jika benar saiz pinggang yang besar sudah diterima sebagai perkara biasa, mungkin semakin ramai yang tidak serius dalam menjaga berat badan dan saiz pinggang yang sihat.

Penerimaan saiz pinggang besar sebagai sesuatu yang biasa bukanlah sesuatu yang bagus. Jika diambil mudah, individu dengan berat badan berlebihan akan hilang tumpuan pada kepentingan berat badan dan saiz pinggang yang sihat. Ini boleh membawa kepada lebih ramai rakyat Malaysia yang obes dan menghidapi penyakit berkaitan obesiti seperti diabetes, masalah jantung, darah tinggi dan masalah sendi.

Mengikut Dr. Ng, perkara ini juga tidak boleh lagi dianggap sebagai ‘hal aku, orang lain jangan peduli’.

“Kesan obesiti lebih mendalam termasuk kepada ekonomi dan negara. Kerajaan mungkin terpaksa menanggung subsidi perubatan yang lebih tinggi jika kes penyakit berkaitan obesiti meningkat dengan mendadak.

“Jika kita lebih sihat, semakin kuranglah cuti sakit dari kerja dan dapat meningkatkan produktiviti negara,” katanya.

Di samping itu, kajian tersebut menunjukkan BMI juga tidak menunjukkan kaitan rapat dengan kedua-dua tahap keyakinan diri dan kepuasan hidup di kalangan rakyat Malaysia, berbeza dengan apa yang dijangkakan sebelum ini.

Persepsi penduduk negara ini menghabiskan masa dengan makan juga mungkin boleh disangkal hasil peratusan tinggi peserta yang sedar ertinya makan untuk hidup. Namun, hampir satu pertiga (29.5 peratus) peserta mengakui mereka hidup untuk makan.

Menurut Dr. Ng, dari segi peningkatan saiz pinggang pula, golongan lelaki didapati mempunyai saiz pinggang lebih besar berbanding wanita tetapi saiz ini tidak banyak bertambah dengan peningkatan usia. Lelaki juga secara umumnya lebih berat dan tinggi berbanding wanita.

“Bagi golongan wanita, berat badan mereka dilihat semakin meningkat dengan usia. Ini mungkin kerana wanita bermula dengan saiz badan lebih kecil sekitar usia 21 hingga 30 tahun.

“Saiz badan wanita yang kecil akan semakin meningkat terutamanya sekitar umur 36 hingga 40 tahun. Lelaki yang bermula dengan saiz badan yang besar mungkin dapat mengekalkan saiz hampir sama dan tidak menunjukkan banyak perbezaan dengan usia,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun meminta orang ramai kurang menumpukan kepada rupa fizikal luaran sahaja dan lebih menumpukan kepada mengekalkan tahap kesihatan badan dengan menjaga berat badan dan ukur lilit pinggang.

“Perkara utama yang perlu ditekankan adalah saiz pinggang lebih kecil akan memberikan kepuasan hidup yang lebih tinggi, iaitu lebih banyak kegembiraan dalam hidup. Pinggang lebih kecil juga memudahkan pergerakan badan.

“Jadi, amalkan gaya hidup sihat dan cergas, dapatkan badan sihat dan jangan lupa untuk makan sayur,” tegas Dr. Ng.

Jika anda sihat, pasti anda akan kelihatan lebih menawan, ceria dan berseri setiap hari.

Read More: http://www.serikasih.com/kaitan-psikologi-dan-obesiti#ixzz1tyFDjhd3
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...