Anda Mahu Diet Agar Kelihatan Kurus?

Saya ingin berkongsi dengan anda tips Mahu diet? Ikut tip ini yang dipetik dari majalah RAPI keluaran 1 April 2009. Mungkin tips di bawah ini boleh membantu anda mengurangkan berat badan.



Makan Sayur Bukan Sahaja Boleh Kurus, Tetapi Cantikkan Kulit Anda

1. Ambil kuantiti sayur, buah, makanan berbijiran penuh, dan kekacang. Makanan seperti ini mengandungi kuantiti tenaga yang kurang padat sekaligus membantu anda untuk merasa kenyang dalam tempoh masa yang lama.

2. Daging kurang lemak, ikan, produk tenusu kurang lemak dan lain-lain jenis protein diambil dalam kuantiti sederhana. Makanan jenis protein paling berkesan untuk memberi kesan mengenyangkan.

3. Jika anda mengambil snek atau makanan ringan secara kerap, anda dapat menakan makan secara keterlaluan (jumlah makanan yang diambil tidak banyak)

4. Berdiet ada masanya akan membuatkan seseorang itu terpaksa menahan diri dari mengambil makanan yang mereka gemari. Tidak elok begitu, ada masanya anda harus memberi ruang kepada diri sendiri. Ambil makanan yang anda inginkan dalam kuantiti yang sedikit, sekadar merasa. Kemudian, teruskan diet anda tanpa rasa bersalah.

5. Jumlah makanan yang diambil harus disukat. Jika anda risau terlupa diri, lebih baik minta bantuan rakan untuk mengawasi sukatan makanan anda. Pastikan anda berpegang kepada prinsip dan tidak mudah goyah dengan ‘godaan’ makanan yang ada di sekitar anda.

16.2 Juta Rakyat Alami Kegemukan


KUALA LUMPUR: Seramai 16.2 juta atau 60 peratus rakyat di negara ini dikesan mengalami masalah kegemukan seawal usia kanak-kanak lagi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 8.1 juta penduduk atau 30 peratus mengalami masalah berat badan, manakala 30 peratus lagi mengalami masalah kegemukan berlebihan (obesiti).
“Masalah berat badan dan obesiti ini menyebabkan penyakit kronik yang tidak berjangkit seperti jantung, darah tinggi, barah buah pinggang dan diabetes. Penyakit ini boleh dielak dan dicegah dari semasa ke semasa tetapi kita dapati trend penyakit ini semakin meningkat.
“Masalah ini disebabkan gaya hidup rakyat di negara ini dan kita tiada pilihan, melainkan perlu mengadakan pelbagai kempen dan program kesedaran bagi membolehkan rakyat mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk mengelak penyakit kronik berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ahli Lembaga Pelawat Hospital 2010 di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Sementara itu, Liow mengumumkan kementerian akan menyalurkan peruntukan kewangan RM10,000 kepada setiap Lembaga Pelawat Hospital (LPH) di 112 hospital di seluruh negara, pada tahun depan.

“Peruntukan ini disalurkan terus kepada akaun LPH bagi menjalankan aktiviti dan program bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan hospital dan kesejahteraan pesakit,” katanya.
Liow berkata, bermula tahun depan, mereka juga diberi tanggungjawab dan peranan lebih berat termasuk menganjurkan pelbagai program kesedaran untuk meningkatkan pengetahuian kesihatan rakyat.

Beliau berkata, kementerian juga mewujudkan sistem penarafan bintang bagi semua LPH dan sebagai permulaan, 18 hospital negeri dan utama dibuat penilaian berdasarkan beberapa kriteria termasuk pengendalian mesyuarat, projek, aktiviti serta lawatan, selain idea dan inovasi diterapkan dalam menambahbaik perkhidmatan hospital dan pesakit.

Katanya, antara LPH mendapat pengiktirafan empat bintang ialah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang Selangor; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh; Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu dan Hospital Pulau Pinang.

LPH yang mendapat tiga bintang ialah Hospital Tuanku Fauziah, Kangar; Hospital Tuanku Jaafar, Seremban; Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star; Hospital Melaka, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan; Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya. - BH 16/11/2010

http://www.jasa.gov.my/index.php/bm/media/koleksi-artikel/5-field-issues/397-162-juta-rakyat-alami-kegemukan.html

7 Cara Kempiskan Perut Buncit

 
Ramai yang mungkin sedar perubahan fizikal badan mempengaruhi cara pembawakan diri seseorang apabila berdepan dengan orang ramai.
Perubahan fizikal seperti ‘perut buncit’ kadang-kadang membuatkan seseorang itu berasa malu atau tidak mempunyai keyakinan diri apabila ingin menonjolkan diri di khalayak ramai.
Malah, apabila tidak mempunyai fizikal yang menarik seperti artis atau pembina badan, mungkin akan membuatkan individu itu berasa lebih tersisih dan berfikir negatif setiap masa.
Pun begitu, terdapat cara yang sesuai untuk lelaki mahu pun wanita untuk mengatasi masalah  mempunyai perut buncit. Tidak salah untuk mencubakan? Antara cara-cara untuk mengempiskan perut adalah:
1. Minum air masak yang banyak.
Apabila tubuh badan kita menerima sumber air yang banyak, keadaan itu akan mencairkan kuantiti sodium dalam tubuh badan sehingga membolehkan kuantiti air yang keluar dari tubuh badan juga meningkat. Mendapatkan jumlah air yang banyak juga akan menjaminkan fungsi hempedu yang lebih efektif sewaktu proses pembuangan air berjalan dengan lancar.
2. Makan perlahan-lahan.
Ketika menjamah makanan, kita tidak digalakkan makan dengan cepat kerana udara akan terkepung di dalam usus dan seterusnya membentuk gas yang menggalakkan perut menjadi buncit. Makanan yang tidak dikunyah sehingga kecil juga tidak dapat dicerna dengan sempurna yang seterusnya menyebabkan proses kembung perut berlaku.
3. Kurangkan garam dalam makanan.
Terlalu banyak garam dalam proses diet akan menambah ekstrak sodium terhadap cairan dalam tubuh dan melambatkan mekanisme proses pengeluaran air dari sel badan. Akibatnya, perut akan menjadi kembung dengan gas-gas yang terbentuk.
4. Makan makanan yang penuh serat.
Serat adalah elemen yang penting dalam piramid makanan. Untuk mengimbangi kuantiti air dalam tubuh badan, amalan memakan sayur-sayuran hijau dan buah-buahan seperti epal dan pear dapat membantu dalam proses penjagaan ini.
5. Kesan pengambilan ubat.
Terdapat juga kajian yang dilakukan mengatakan, pengambilan pelbagai jenis ubat-ubatan menjadi salah satu punca perut menjadi buncit. Sebagai contoh, ubat Aspirin yang terlalu kerap di ambil akan menyebabkan timbulnya penyakit lain seperti sembelit.
6. Hindari sembelit.
Sembelit berlaku apabila seseorang itu mengalami masalah dalam pembuangan dan hanya membuang tidak lebih dari tiga kali seminggu. Sebagai akibat dari penyakit ini, perut akan mengumpul gas-gas yang berlebihan dan merangsang isi perut mengumpul lemak-lemak yang boleh menyebabkan kekembungan dan buncit. Oleh itu, pengambilan serat adalah digalakkan.
7. Lakukan senaman atau bersukan.
Bersukan sebanyak tiga kali seminggu dapat membantu meningkatkan kadar metabolisme dalam tubuh badan yang bagus untuk pembakaran dan pemecahan lemak. Bersukan akan membantu menggerakkan cairan berlebihan dalam perut dan dikeluarkan dari tubuh badan sebagai peluh. Ini seterusnya akan mengekalkan bentuk badan seseorang yang sesuai dengan ketinggian dan berat badan.
Selamat mencuba!
Oleh: NAIMAH SHAARI
 http://mynewshub.my/2012/02/05/7-cara-kempiskan-perut-buncit/

Ancaman Kesihatan Masa Kini Kegemukan


Bukan sekadar penyakit berjangkit yang menjadi isu perbualan hangat di antara masyarakat kini tetapi masalah kegemukan yang menjadi ancaman penyakit juga telah lama bertapak di setiap lapisan masyarakat kita kini telah menjadi isu kesihatan yang semakin hebat dibicarakan.

Jika dulu, gemuk seringkali ditafsirkan sebagai sihat namun kini gemuk banyak dikaitkan dengan masalah kesihatan dan juga penampilan yang kurang menarik. Bukan bentuk lahiriah yang dipersoalkan tetapi kegemukan mungkin mengundang masalah lain yang tidak boleh dijangkakan.

Namun begitu, dalam sesetengah budaya, gemuk dikaitkan dengan kekuatan fizikal dan kesuburan. Gemuk juga diiktiraf sebagai simbol kekayaan dan status sosial terutama dalam kelompok masyarakat yang mengalami masalah kekurangan makanan. Dalam sejarah awal Eropah moden juga gemuk dikaitkan sebagai simbol kekayaan sebelum akhirnya ia dikaitkan dengan keghairahan dan juga selera .

Globalisasi dan urbanisasi juga dikaitkan dengan peningkatan kegemukan yang bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Gemuk atau berlebihan berat badan merupakan suatu kelaziman yang berlaku di negara Barat dan pola peningkatannya dilaporkan lebih cepat meningkat berbanding di negara- negara yang membangun.

Jika ditinjau keadaan semasa, semua golongan terutamanya wanita amat mementingkan penampilan dan kecantikan terutamanya berat badan. Namun, sejauh mana apa yang ingin ditampilkan ini dapat dijadikan amalan yang berterusan selari dengan apa yang diimpikan. Tidak ketinggalan, golongan lelaki juga mengalami dilema seperti wanita iaitu berkaitan dengan penampilan lahiriah.

Gemuk dan gendut juga menjadi satu masalah bagi kaum lelaki pada masa kini. Secara umumnya, unsur pemakanan dan gaya hidup merupakan punca utama yang menyumbang kepada masalah ini. Walaupun boleh dikatakan unsur baka (genetik) juga memainkan peranan dalam menyumbang kepada masalah kegemukan tetapi pengaruhnya hanyalah kecil sahaja dalam epidemik gemuk berbanding dengan pengaruh pemakanan dan gaya hidup.

Mengapakah seringkali diwawarkan akan bahaya gejala kegemukan walaupun ia sekadar pandangan atau penampilan lahiriah sahaja? Memang sebegitu pandangan sesetengah masyarakat namun secara ditirnya, kesan kegemukan boleh melangkau lebih dari sekadar itu.

Bukan setakat ia boleh menyebabkan penampilan yang tidak menarik tetapi juga boleh mengundang masalah- masalah kesihatan yang lain yang lebih teruk. Hal inilah yang seringkali diperkatakan oleh pakar- pakar kesihatan kini yang bimbang akan peningkatan penyakit yang tidak berjangkit berkait dengan kegemukan yang menjadi salah satu masalah kesihatan awam.

Terdapat juga mitos yang mengatakan bahawa wanita yang melahirkan anak ramai adalah punca kegemukan. Namun, ia bukanlah salah satu sebab yang utama kerana wanita yang tidak melahirkan anak juga cenderung untuk gemuk. Ia merupakan salah tanggapan yang buruk terhadap masalah kegemukan oleh segelintir masyarakat kita yang masih kurang pendidikan pemakanan.

Pokok pangkalnya, penjagaan pemakanan dan gaya hidup sihat yang perlu diamalkan dan bukanlah soal melahirkan anak atau tidak. Lelaki seperti juga dengan wanita bergelut dengan isu pertambahan berat badan yang kadang- kadang mereka sendiri tidak menyedari akan pertambahan ukur lilit perut sehingga menjadi punca masalah gendut. Punca utama masalah kegemukan yang dikenalpasti oleh pakar- pakar pemakanan mahupun kesihatan ialah ketidakseimbangan antara pengambilan tenaga dengan penggunaan tenaga.

Ditambah lagi tiada perubahan dalam tabiat dan pengambilan makanan berlemak dan berkalori tinggi walaupun umum sudah mengetahui bahawa ia merupakan punca utama masalah kegemukan yang juga akan berakhir dengan masalah kesihatan yang lain. Gabungan antara pengambilan nutrisi yang berlebihan dan gaya hidup masyarakat yang lebih banyak duduk tanpa melakukan aktiviti yang aktif akan membarahkan lagi masalah kesihatan yang sedia wujud dalam masyarakat kita.

Harus diingatkan, walaupun isu kegemukan mendapat tempat di dalam masyarakat dan sering dibicarakan namun harus disedari bahawa tubuh badan yang kurus juga tidak menjamin seseorang bebas daripada mendapat penyakit- penyakit lain. Cuma yang pasti, risiko mendapat penyakit berbahaya seperti barah, penyakit jantung dan strok adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang mengalami masalah kegemukan. Apabila gemuk, aktiviti fizikal juga terbatas menyebabkan golongan ini juga malas bersenam dan sukar melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh dengan mudah seperti menaiki tangga, berjalan, berkebun dan sebagainya.

Dalam hal ini, kita perlu kembali kepada ajaran Islam. Bagaimana Rasulullah telah mengajar umatnya bersederhana dalam makanan perlu diambil iktibar sepertimana sabdanya: “Tidak ada bejana yang lebih buruk yang diisi oleh manusia daripada perutnya sendiri. Cukuplah seseorang itu memakan beberapa suap makanan yang dapat menegakkan tulang belakangnya. Kalau terpaksa, maka ia boleh mengisi sepertiga perutnya dengan makanan, sepertiga lagi dengan minuman dan sepertiga bakinya untuk nafas”.

Ini menunjukkan kepada kita agar bersederhana dan tidak boleh memakan secara berlebihan kerana ia mungkin akan memudaratkan tubuh badan kita. Para sahabat juga pernah makan di hadapan Nabi Muhammad SAW secara terus menerus sehingga kenyang. Terlalu kenyang juga akan melemahkan tenaga tubuh walaupun secara zahirnya tubuh akan terus subur.

Namun menurut Ibn Qayyim Al Jauziyah, tubuh hanya akan menjadi kuat dengan kualiti makanan yang diterimanya dan bukan dengan dipenuhi makanan sebanyak- banyaknya. Ini bermakna pemakanan yang sihat dan sempurna akan menghasilkan tubuh badan yang sihat dan bukannya bergantung kepada kuantiti makanan. Apabila aspek kuantiti yang ditekankan, maka akan berlakulah masalah yang digeruni oleh semua kini iaitu masalah kegemukan.

Sejajar dengan perkembangan semasa, banyak program dan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan untuk menyedarkan rakyat tentang pemakanan dan gaya hidup sihat sekaligus untuk mengurangkan masalah kegemukan yang berlaku dalam masyarakat Malaysia. Walau apapun langkah yang dianjurkan oleh mana- mana pihak, seandainya ia tidak bermula dengan diri kita sendiri, maka masalah kegemukan tidak akan berkurangan seterusnya masyarakat kita masih lagi terus berdepan dengan masalah kesihatan yang tidak berkesudahan.

Oleh sebab itulah, kita seharusnya mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan masalah kegemukan yang akan membarah dengan penyakit yang berbahaya berlaku sepertimana yang disebut oleh Al Harith ibn Kaladah bahawa pencegahan adalah inti pengubatan, dan perut adalah sarang penyakit, maka biasakanlah tubuh itu untuk melakukan hal yang biasa dilakukannya.

Jika kita melampau dan berlebihan dalam mengambil makanan, ia akan menyebabkan berlebihan zat makanan dan berat badan semakin meningkat seterusnya masalah lain akan timbul. Justeru itu, langkah pencegahan yang mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja ialah menjaga amalan pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat serta makan perlulah mengikut keperluan fisiologi dan bukannya psikologi.

Norkumala bt. Awang
Pegawai Penyelidik
Kredit : IKIM & Flickr

http://www.jomdiet.com/ancaman-kesihatan-masa-kini-kegemukan/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...