Beri Biru (Blueberry) Bantu Menurunkan Lemak & Kolesterol

Beri biru atau blueberry sememangnya sedap. Apatah lagi jika dibuat kek atau yogurt, kan? Bagi anda yang gemarkan beri biru, saya mahu kongsikan satu kajian yang telah dilakukan ke atasnya.


Buah Beri Biru
Buah Beri Biru


Di Amerika Syarikat, satu kajian penggunaan buah beri biru telah dibuat ke atas haiwan. Hasilnya, ia menunjukkan kesan positif dalam menurunkan kolesterol.

Namun, kajian ini masih di peringkat awal. Keputusan mukatamad pun masih belum diputuskan. Tapi, kajian ini sedikit sebanyak membayangkan yang beri biru boleh dijadikan alternatif untuk menurunkan paras kolesterol.


Ini kerana beri biru mengandungi "pterostilbene". Ia telah menunjukkan kesan stimulasi protein reseptor yang terdapat dalam sel yang mana memainkan peranan penting untuk menurunkan kolesterol dan lemak dalam tubuh.

Setakat ini juga, sebarang kesan sampingan terhadap penggunaannya masih belum ditemui. :)

Selain menurunkan lemak dan kolesterol, "pterostilbene" juga boleh membantu mengatasi masalah kegemukan, diabetes, melawan kanser dan penyakit jantung.


Walaubagaimanapun, anda harus sedar selain pengambilan pola pemakanan sihat, melakukan aktiviti fizikal setiap hari adalah kaedah terbaik bagi menurunkan paras kolesterol serta mengurangkan risiko mendapat penyakit yang lain. :)

Merawat Masalah Obesiti


PADA hari ini masalah lemak berlebihan yang keterlaluan atau juga dikenali sebagai obesiti merupakan antara topik paling popular dibicarakan terutama mengenai usaha untuk mencari penawarnya.

Pengaruh Barat yang dipaparkan melalui iklan-iklan dan pertunjukan-pertunjukan fesyen bahawa mereka yang bertubuh kurus dianggap cantik dan sempurna menyebabkan ramai di antara kita berusaha untuk mendapatkan berat badan yang sedemikian.

Selain kesedaran berhubung kesan obesiti pada status kesihatan dan perkembangan psikososial seseorang, berat badan berlebihan sering dikonotasikan dengan gambaran negatif. Namun, rata-rata mereka yang berusaha mendapatkan berat badan idaman dan mengekalkannya sering menemui jalan buntu.

Pakar Perunding Perubatan (Endokrinologi), Jabatan Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Nor Azmi Kamaruddin berkata, dalam menangani masalah obesiti, individu terbabit kena memahami tubuh badan dan keadaan diri mereka sendiri. Menurut beliau, mereka yang ingin menurunkan berat badan perlu realistik. “Senario proses menurunkan berat badan yang kita lihat hari ini rata-ratanya agak tidak praktikal. “Contohnya, jika berat badan ialah 100 kilogram, individu terbabit ingin menurunkan hingga ke 60 kilogram. Ini adalah sesuatu yang tidak praktikal dan mustahil,” ujarnya.

Obesiti diertikan sebagai jumlah berat badan yang berlebihan akibat kandungan lemak. Dianggarkan sebanyak enam peratus rakyat Malaysia menghadapi masalah ini. Menurut Dr. Nor Azmi, peningkatan penyakit diabetes di negara ini sejajar dengan meningkatnya masalah obesiti.

Pada tahun 2000, kadar peningkatan diabetes meningkat hingga 10 peratus berbanding tiga peratus pada tahun 1992. “Di England, peningkatan obesiti sama banyaknya dengan masa yang dihabiskan ketika menonton televisyen,” jelasnya. Tambah beliau, dalam usaha menurunkan berat badan masalah yang sering timbul ialah mengekalkannya. “Biasanya apabila kita telah berusaha untuk mengurangkan berat badan, masalah yang muncul ialah untuk mengekalkan berat badan baru yang telah kita peroleh,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka yang ingin menurunkan berat badan supaya tidak terlalu obses dengan berat badan yang mereka ingini. Sebaliknya, sasaran utama yang perlu ditekankan ialah individu terbabit haruslah realistik dengan berat badan yang ideal dan sesuai dengan ketinggian mereka.

Pada peringkat awal, cuba kurangkan berat badan sebanyak 10 peratus dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan. Tambahnya, mereka yang menghadapi masalah obesiti juga tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan program-program menguruskan badan yang banyak digembar- gemburkan di media massa. “Sebahagian besar produk atau program-program yang ditawarkan untuk menguruskan badan terbukti tidak benar-benar berkesan. “Memang ada yang berjaya dengan menggunakan kaedah ini, tetapi kejayaan seseorang tidak boleh dijadikan ukuran sebenar untuk menilai keberkesanan sesuatu produk,” ujarnya.

Dr. Nor Azmi memberitahu, untuk membuktikan sama ada sesuatu produk itu benar- benar berkesan kepada pengguna, ia haruslah dibuktikan secara saintifik dengan lebih 50 peratus pesakit berjaya menurunkan berat badan dalam tempoh enam hingga 12 bulan. Menurut beliau, terdapat empat kaedah yang perlu dilakukan oleh mereka yang menghadapi masalah obesiti. Ini termasuklah diet, senaman, ubat-ubatan dan pembedahan.


Diet

- Elakkan makanan yang tinggi kandungan kalori seperti makanan yang banyak lemak dan gula. Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan. Kurangkan menggoreng makanan. Banyakkan makanan yang direbus dan dibakar.

- Elakkan menggunakan susu pekat manis.

- Kurangkan kandungan gula dalam minuman dan kuih-muih.

- Makan ikut jadual dan elakkan meninggalkan jadual makan.

- Jangan gelojoh ketika makan dan ambil masa untuk memberi rasa kekenyangan.

- Kurangkan makan di waktu malam, elakkan snek ketika menonton televisyen.

- Pengurangan antara 500 hingga 1,000 kalori sehari dapat mengurangkan antara 0.5 hingga 1 kilogram sebulan.


Senaman

Senaman perlu dilakukan secara berterusan setiap hari dalam tempoh 20 hingga 30 minit sahaja bergantung kepada aktiviti yang dilakukan.

Sebaik-baiknya amalkan senaman selama 15 minit setiap hari daripada bersenam selama dua jam tetapi hanya seminggu sekali.

Senaman ini merangkumi berjoging, berbasikal, aerobik, bersukan, berenang dan sebagainya.


Ubat-ubatan

Kaedah ini dapat membantu mengurangkan sebanyak antara lima hingga 10 peratus berat badan.

Terdapat empat jenis ubat-ubatan iaitu:

- Lipase inhibator. Ubat ini menghalang enzim lipase di dalam saluran penghadaman memproses lemak makanan yang dimakan daripada menyerap ke dalam tubuh. Bagaimanapun, ia hanya menyekat 1/3 daripada lemak tersebut dan bakinya akan memasuki sistem penghadaman makanan.

- Ubat mengekalkan paras hormon adrenalin dan serotonin. Dengan memakan ubat ini, ia akan mengawal fungsi selera makan dalam otak yang menyebabkan individu terbabit berasa kenyang. Kesan sampingannya ialah hipertensi, sukar tidur, jantung berdebar, panas dan sebagainya.

- Ubat kencing manis. Ia boleh bertindak terhadap sel-sel tubuh dengan memperbaiki sensitiviti sel terhadap hormon insulin.

- Ubat antikemurungan. Walaupun ia boleh menurunkan berat badan, ia tidak digunakan untuk mengurangkan berat badan kerana ia boleh menimbulkan kesan sampingan.


Pembedahan

Pembedahan ini bukan pembedahan kosmetik yang boleh menguruskan badan. Ia hanya digunakan bagi mereka yang mempunyai masalah obesiti yang serius. Jaminan keberkesanan kaedah ini ialah sebanyak 90 peratus dengan pengurangan berat badan antara 30 hingga 50 kilogram.

Namun, ia juga mempunyai implikasi tersendiri seperti muntah, kekurangan zat vitamin dan jahitan terbuka.

Antara jenis pembedahan yang dilakukan ialah:

- Jaw wiring – mengecilkan bukaan rahang mulut supaya individu tersebut tidak boleh makan dengan banyak.

- Gastric reduction – mengecilkan kandungan perut supaya makanan tidak dapat diisi dengan banyak.

- Ile-jujenal bypass (Roux-EnY) – pembedahan pintasan di mana perut akan disambung terus ke usus kecil sekali gus menghalang makanan daripada dihadamkan.

Kaedah untuk mengukur kesesuaian berat badan BMI (Indeks Jisim Badan) kg 72 Ketinggian (m2) 1.7×1.7

Ukuran berat badan boleh dilakukan berdasarkan panduan seperti:

Normal: 17-25

Berat badan berlebihan: 25-30

Obesiti tahap I: 30-35

Obesiti tahap II: 35-40

Obesiti tahap III: 40 ke atas


Punca

Hampir sebahagian besar masalah obesiti ini berpunca daripada faktor luaran seperti:

- Pemakanan. Pemakanan yang berlebihan terutama makanan yang mengandungi kalori (tenaga) tinggi. Ini termasuklah makanan yang mempunyai kandungan lemak dan gula yang tinggi.

- Kurang melakukan senaman.

- Kesibukan bekerja, menonton televisyen dan banyak menghabiskan masa di depan komputer.

- Penyakit-penyakit metabolisme endokrin seperti kekurangan atau terlebih hormon pertumbuhan kortisol. Sekiranya kekurangan hormon thyroxsin atau kekurangan hormon lelaki (testosteron) seseorang boleh mengalami masalah berat badan berlebihan. Ada kalanya ketumbuhan pada hipotalamus boleh menyebabkan individu mempunyai berat badan berlebihan kerana selera makan yang tinggi.

- Ubat-ubatan. Amalan memakan sesetengah ubat-ubatan seperti steroid atau ubat tradisional Cina boleh mengakibatkan berat badan bertambah. Steroid yang berlebihan boleh menyebabkan penyakit diabetes dan hipertensi.

- Masalah genetik. Terdapat beberapa gen dalam tubuh yang menyebabkan berat badan berlebihan. Sindrom-sindrom seperti Prader-Willi, Laurence Moon Biedl dan sebagainya boleh menyebabkan obesiti.

l Sindrom metabolik. Sindrom metabolik iaitu sejenis penyakit keturunan menyebabkan seseorang itu mempunyai berat badan yang berlebihan, diabetes, hipertensi, tahap kolesterol yang tinggi, gout dan sebagainya.


Bagaimana menyukat tahap obesiti

Selain berat badan berlebihan, seseorang boleh menilai sama ada ia tergolong dalam kategori obesiti melalui ukuran diameter di pusat:

- Bagi wanita jika ukuran melebihi 88 sentimeter = risiko tinggi mendapat penyakit dan dikategorikan dalam golongan obesiti

- Bagi lelaki jika ukuran melebihi 102 sentimeter = risiko tinggi untuk mendapat penyakit dan dikategorikan dalam golongan obesiti.


Implikasi obesiti

Risiko menghidap pelbagai penyakit seperti:

- Penyakit hipertensi

- Penyakit jantung koronari

- Diabetes Mellitus

- Kanser terutamanya kanser buah dada, usus dan lain-lain

- Gout dan sakit sendi (osteoartritis)

- Masalah pernafasan – sleep apnea syndrome

- Masalah batu dalam pundi hempedu (gall bladder)

- Bagi wanita mereka biasanya menghadapi masalah sakit puan seperti kitaran haid yang tidak menentu, ketidak- suburan dan sebagainya.


Risiko psikososial

Individu yang terlalu gemuk akan menghadapi masalah kurang keyakinan diri kerana mereka menjadi bahan bualan. Dari aspek sosial, masyarakat memandang rendah terhadap mereka dan tidak ramai yang ingin bergaul dengan mereka. Kajian menunjukkan individu yang mengalami obesiti kurang mendapat peluang kenaikan pangkat dalam pekerjaan mereka kerana ia sering dikaitkan dengan tabiat malas.

Mengenal Masalah Kegemukan

Image result for fat cartoon
OBESITI atau yang biasa kita kenal sebagai kegemukan merupakan suatu masalah yang cukup merisaukan khususnya di kalangan remaja. Pada remaja perempuan, kegemukan menjadi permasalahan yang cukup berat dan menekan, kerana keinginan untuk tampil sempurna yang seringkali diertikan dengan memiliki tubuh ramping atau langsing dan cantik, merupakan idaman bagi mereka.

Perkara ini semakin disemarakkan dengan berbagai-bagai iklan di kaca televisyen, akhbar, majalah, dan media massa lain yang selalu menonjolkan watak-watak wanita yang langsing di samping iklan berbagai-bagai macam ramuan ubat-ubatan, makanan dan minuman untuk merampingkan tubuh.

Akibatnya, ribuan ringgit wang dibelanjakan untuk diet, ubat-ubatan, dan perawatan-perawatan bagi menurunkan berat badan. Tidak berbeza dengan remaja perempuan, remaja lelaki juga takut atau bimbang menjadi gemuk. Bagi mereka, lelaki yang gemuk berlebih dianggap akan mengalami permasalahan yang cukup berat untuk menarik perhatian indan berlainan jenis. Banyak remaja lelaki yang berharap dapat membuatkan tubuh merela ideal (menjadi sedikit berotot atau tegap) dan keinginan mereka untuk itu pada sebahagian remaja disalurkan melalui aktiviti sukan.

Tetapi sayangnya bagi mereka yang gemuk, aktiviti sukan akan terasa sebagai suatu seksaan. Hal inilah yang seringkali dimanfaatkan oleh para penjual produk-produk ubat-ubatan atau makanan penurun berat badan dan alat sukan ringan untuk melariskan barangan perniagaan mereka. Dengan melihat fenomena yang terjadi sekarang ini, tidaklah berlebihan jika dikatakan bahawa obesiti merupakan salah satu masalah rumit yang seringkali dihadapi remaja, termasuk juga orang dewasa.

Hal ini tergambar menerusi banyaknya wang yang dikeluarkan untuk melakukan diet, membeli ubat-ubatan pelangsing dan peralatan sukan yang bertujuan untuk menurunkan berat badan. Obesiti atau kegemukan terjadi pada ketika badan menjadi gemuk (obese) yang disebabkan oleh penumpukan ‘adipose’ (adipocytes: jaringan lemak khusus yang disimpan di dalamtubuh) secara berlebihan. Jadi, obesiti adalah keadaan di mana seseorang memiliki berat badan yang lebih berat dibandingkan berat idealnya yang disebabkan terjadinya pengumpulan lemak di dalam tubuhnya.

Berhadapan dengan obesiti, seringkali seseorang remaja memberi tindak balas secara berlebihan. Kerap pula mereka menjadi kecewa kerana meskipun sudah melakukan diet secara terancang dan ketat serta mengambil ramuan atau ubat-ubatan penurun berat badan, ternyata kegemukan tubuh tidak juga susut. Apa sebenarnya yang terjadi? Untuk menjawab persoalan tersebut, kita perlu melihat faktor-faktor yang menjadi penyebab obesiti.

Menurut para pakar kesihatan, berasarkan pada hasil kajian, obesiti boleh dipengaruhi oleh berbagai-bagai faktor. Faktor-faktor tersebut di antaranya adalah faktor genetik, disfungsi salah satu bahagian otak, pola makan yang berlebihan, kurang bersukan, emosi, dan faktor persekitaran.

GENETIK

Kegemukan boleh diturunkan daripada generasi sebelumnya kepada generasi berikutnya di dalam sesebuah keluarga. Itulah sebabnya kita seringkali menemui ibu bapa yang gemuk cenderung memiliki anak-anak yang gemuk juga. Dalam hal ini nampaknya faktor genetik telah ‘ikut campur’ dalam menentukan jumlah unsur sel lemak di dalam tubuh.

Hal ini demikian kerana pada ketika ibu yang obesiti sedang hamil, maka unsur sel lemak yang berjumlah besar dan melebihi ukuran normal, secara automatik akan diturunkan kepada bayi sewaktu dalam kandungan. Maka, tidak hairanlah apabila bayi yang lahir pun memiliki unsur lemak tubuh yang relatif sama besar.

KEROSAKAN PADA SALAH SATU BAHAGIAN OTAK

Sistem pengawal yang mengatur perilaku makan terletak pada suatu bahagian otak yang disebut ‘hipotalamus’, sebuah kumpulan inti sel dalam otak yang berhubungan dengan bahagian-bahagian lain daripada otak dan kelenjar di bawah otak. ‘Hipotalamus’ mengandungi lebih banyak pembuluh darah dari bahagian lain di dalam otak, sehingga lebih mudah dipengaruhi oleh unsur kimia daripada darah.

Dua bahagian ‘hipotalamus’ yang mempengaruhi penyerapan makanan, iaitu ‘hipotalamus lateral’ (HL) yang menggerakkan nafsu makan (awal atau ‘pusat makan’); ‘hipotalamus ventromedial’ (HVM) yang bertugas mengekang nafsu makan (pemberhentian atau ‘pusat kenyang’).

Daripada hasil kajian, didapati bahawa apabila ‘hipotalamus ventromedial’ rosak atau hancur, maka individu menolak untuk makan atau minum, dan akan mati kecuali apabila dipaksa diberi makan dan minum (diberi infus). Sedangkan bila kerosakan terjadi pada bahagian ‘hipotalamus ventromedial’, maka seseorang akan menjadi rakus atau gelojoh dan kegemukan.

POLA MAKAN BERLEBIHAN

Orang yang gemuk lebih responsif dibandingkan dengan orang yang berat badannya normal terhadap isyarat lapar luaran, seperti rasa dan bau makanan, atau ketika waktu makan. Orang yang gemuk cenderung makan apabila ia merasa ingin makan, bukan makan pada ketika ia lapar. Pola makan berlebihan inilah yang menyebabkan mereka sukar untuk keluar daripada perangkap kegemukan jika individu terbabit tidak memiliki kawalan diri dan motivasi yang kuat untuk mengurangkan berat badan.

KURANG BERSUKAN

Tingkat pengeluaran tenaga tubuh sangat peka terhadap pengendalian berat tubuh. Pengeluaran tenaga bergantung kepada dua faktor, iaitu:

1) tingkat aktiviti dan sukan secara umum;
2) angka metabolisme atau tingkat tenaga yang diperlukan untuk mempertahankan fungsi minimum tubuh.

Daripada kedua-dua faktor tersebut, metabolisme mempunyai tanggungjawab dua pertiga daripada pengeluaran tenaga orang yang normal. Meskipun aktiviti fizikal hanya mempengaruhi satu pertiga pengeluaran tenaga seseorang dengan berat normal, tetapi bagi orang yang memiliki kelebihan berat badan, aktiviti mempunyai peranan yang sangat penting. Pada waktu bersukan kalori terbakar, makin banyak bersukan, maka semakin banyak kalori yang hilang.

Kalori secara tidak langsung mempengaruhi sistem metabolisme. Orang yang duduk bekerja sehari-harian akan mengalami penurunan metabolisme tubuhnya. Kekurangan aktiviti ‘gerak’ akan menyebabkan suatu siklus yang hebat, obesiti membuatkan aktiviti sukan menjadi sangat sukar dan kurang dinikmati dan kurangnya sukan secara tidak langsung akan mempengaruhi turunnya metabolisme tubuh individu tersebut.

Jadi, sukan sangat penting dalam penurunan berat badan, tidak sahaja kerana dapat membakar kalori, malahan dapat membantu mengatur berfungsinya metabolisme normal.

PENGARUH EMOSIONAL

Suatu pandangan popular adalah bahawa obesiti bermula daripada masalah emosional yang tidak teratasi. Orang-orang gemuk ‘dahaga’ akan kasih sayang seperti kanak-kanak yang menganggap bahawa makanan adalah simbol kasih sayang ibu atau makan lebih daripada hadnya adalah sebagai elemen atau unsur untuk pengganti kepuasan lain yang tidak tercapai dalam kehidupannya.

Walaupun penjelasan demikian sesuai pada beberapa kes, namun sebahagian orang yang mengalami berat badan yang berlebihan tidak terganggu secara psikologi dibandingkan dengan orang yang memiliki berat badan secara normal. Meskipun banyak pendapat yang mengatakan bahawa orang gemuk biasanya tidak bahagia, namun sebenarnya ketidakbahagiaan tekanan batinnya lebih diakibatkan sebagai hasil daripada kegemukannya.

Hal tersebut kerana dalam sesebuah masyarakat, seringkali orang yang bertubuh kurus disamakan dengan kecantikan, sehingga orang gemuk berasa malu dengan penampilan dan kesukaran mereka mengendalikan diri terutama dalam hal yang berhubung dengan perilaku makan. Orang gemuk seringkali mengatakan bahawa mereka cenderung makan lebih banyak apabila mereka di dalam keadaan ketegangan atau cemas, dan eksperimen membuktikan kebenarannya.

Orang gemuk makan lebih banyak dalam suatu keadaan yang sangat mencengkam atau menekan; orang yang mempunyai berat badan secara normal akan dalam keadaan yang kurang mencengkam atau menekan (McKenna, 1999). Dalam suatu kajian yang dilakukan oleh White (1977) pada kumpulan orang dengan berat badan berlebihan dan kumpulan orang dengan berat badan yang kurang, dengan menyajikan kerepek (makanan ringan) setelah mereka menonton empat jenis filem yang mengundang emosi yang berbeza, iaitu filem yang tegang, ceria, merangsang ghairah seksual, dan sebuah ceramah yang membosankan.

Pada orang gemuk didapati bahawa mereka lebih banyak menghabiskan kerepek setelah menyaksikan filem yang tegang dibandingkan setelah menonton filem yang membosankan. Sedangkan pada orang dengan berat badan kurang, selera makan kerepek tetap sama setelah menonton filem yang tegang mahupun filem yang membosankan.

LINGKUNGAN PERSEKITARAN

Faktor lingkungan persekitaran juga mempengaruhi seseorang untuk menjadi gemuk. Jika seseoang dibesarkan dalam lingkungan persekitaran yang menganggap gemuk adalah simbol kemakmuran dan kebahagiaan, maka orang tersebut akan cenderung untuk menjadi gemuk. Selagi pandangan tersebut tidak dipengaruhi oleh faktor luaran, maka orang yang mengalami obesiti tidak akan menghiraukan masalah-masalah psikologi yang berkaitan dengan kegemukan.

Jadi, bagi para remaja yang kebetulan memiliki berat badan berlebihan dan masih belum berjaya mengurangkan berat badan, janganlah berasa kecewa. Mungkin dengan mengetahui faktor-faktor penyebab kegemukan seperti tertulis di atas, anda akan menemui penyebab mengapa berat badan anda tidak kunjung susut.

Satu hal yang paling penting untuk diingat adalah selagi tubuh anda tidak menghidap apa-apa penyakit maka, tidak ada yang salah dengan tubuh anda yang besar (gemuk) itu. Perkara lain yang juga tidak kurang penting ialah cubalah untuk bersukan secara teratur dan menjaga emosi anda pada setiap waktu dalam apa jua keadaan.

http://www.yadim.com.my/Kesihatan/KesihatanFull.asp?Id=174

Sejuta Wanita Malaysia Makin Gebu, Gempal, Gemuk


PUTRAJAYA 12 Jun – Kajian Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan menunjukkan hampir 20 peratus penduduk dewasa dan 21 peratus kanak-kanak di negara ini mengalami ‘Masalah 3G’ iaitu Gebu, Gempal dan Gemuk.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, kajian tahun lalu itu menunjukkan satu juta atau 18.8 peratus wanita berusia 25 hingga 64 tahun adalah gemuk, manakala bagi lelaki sebanyak 13.9 peratus atau 850,000 orang.

Beliau berkata, ini bermakna bagi setiap 100 orang di kalangan mereka yang berumur 25 hingga 64 tahun, terdapat 14 orang lelaki yang gemuk sementara bagi wanita pula seramai 19 orang.

Trend obesiti yang serupa, katanya, turut melanda kanak-kanak.

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas 12,000 murid sekolah di Semenanjung Malaysia menunjukkan 10.5 peratus daripada mereka berlebihan berat badan dan enam peratus dikategorikan sebagai gemuk.

‘‘Kalau dulu mungkin orang yang gebu, gempal serta gemuk dikatakan sihat dan sejahtera tetapi kini tidak lagi kerana ia menjurus kepada bahaya dan bencana.

“Gejala 3G sekarang sudah menjadi masalah kesihatan yang semakin serius, justeru langkah-langkah pencegahan perlu dilaksanakan oleh semua pihak,” kata Soi Lek pada seminar kesihatan Masalah 3G dan Kesannya Kepada Kesihatan Wanita anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon.

Soi Lek berkata, berbanding kajian serupa 10 tahun lalu, jumlah penduduk dewasa berumur 18 tahun ke atas yang berlebihan berat badan adalah 16.6 peratus sementara kegemukan dianggarkan 4.4 peratus.

Beliau menambah, Malaysia merupakan negara rantau Asia Tenggara yang mempunyai masalah kegemukan kedua tertinggi.

Tegasnya, pendidikan kesihatan yang betul amat penting kerana kegemukan adalah permulaan untuk mendapat penyakit kronik seperti sakit jantung koronari, diabetes dan strok.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kegemukan turut meningkatkan risiko mendapat kanser payu dara, kanser kolon, prostat, uterus, buah pinggang dan penyakit pundi hempedu menerusi perubahan hormon akibat kegemukan.

‘‘Kegemukan juga menjadi penyumbang kepada penyakit sendi atau ‘osteoartritis’ yang kerap dialami oleh golongan dewasa sehingga mengehadkan pergerakan mereka,” katanya.

Perkembangan ini antara lain berpunca daripada perubahan gaya hidup rakyat negara ini ekoran pertumbuhan pesat sosioekonomi yang memberangsangkan.

Sehubungan itu, Soi Lek mahu dua amalan asas dipatuhi oleh semua terutama kanak-kanak iaitu mengambil makanan berkhasiat mengikut keperluan tubuh dan melakukan aktiviti fizikal mencukupi.

‘‘Kegemukan tidak berlaku dalam sekelip mata. Penurunan berat badan juga tidak boleh dilakukan dalam tempoh singkat kerana mereka yang mengalami masalah 3G perlu menurunkan berat badan secara sistematik iaitu antara 0.5 hingga satu kilogram seminggu,” katanya.

Soi Lek menambah, penurunan berat badan yang drastik melalui pengambilan ubat-ubatan tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan akan mendatangkan kemudaratan dan seterusnya kematian.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0613&pub=utusan_malaysia&sec=dalam_negeri&pg=dn_01.htm&arc=hive&arc=hive
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...