Makanan Segera, Iklan dan Kegemukan


TUBUH montok atau 'bulat' ketika kanak-kanak memang comel dipandang walaupun sebenarnya ia petanda kurang baik kepada bentuk fizikal yang kurang menarik apabila menjangkau dewasa.

Ada juga ibu bapa baru dikurniakan cahaya mata begitu mengimpikan agar mendapat anak montel kerana selain comel, ia juga dianggap anak mereka itu sihat. Sebaliknya, tanpa disedari ia boleh mengundang kepada pelbagai jenis penyakit atau masalah obesiti ke tahap kritikal.

Masalah obesiti terutama di kalangan kanak-kanak menjadi hangat baru-baru ini, hingga pada satu ketika ada cadangan larangan penjualan nasi lemak yang didakwa menjadi antara punca utama kepada masalah berat badan berlebihan.

Larangan itu menyebabkan banyak pihak tampil mempertikaikan cadangan itu kerana ada yang mendakwa penyumbang utama kepada menularnya gejala obesiti di kalangan murid sekolah adalah berkaitan dengan budaya pemakanan masyarakat Malaysia itu sendiri. Budaya makan malam seperti makan lewat malam di restoran 24 jam dan restoran makanan segera dikatakan paling ketara menjadi amalan.

Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, pernah mengakui masalah obesiti atau kegemukan di kalangan kanak-kanak semakin serius apabila dianggarkan 40 peratus berlaku berikutan gaya hidup ibu bapa yang gemar membawa keluarga makan di luar terutama pada waktu malam.

Menurutnya, masalah lebih ketara terutama di kawasan pantai barat seperti di Lembah Klang yang sudah menjadi kebiasaan dengan cara hidup sedemikian. Berdasarkan masalah berkaitan, dapat dilihat restoran makanan segera antara penyumbang kepada masalah obesiti.

Ada yang mendakwa siaran iklan makanan segera menerusi televisyen membawa kepada pengaruh besar terhadap budaya itu di negara ini, sekali gus ada pihak yang mahukan kerajaan mengawal siaran iklan berkenaan sebagai satu langkah untuk mengawal masalah obesiti yang melanda kanak-kanak ketika ini.

Kita wajar merenungi masalah berkaitan penyiaran iklan kerana penyelidik di Biro Penyelidik Ekonomi Nasional di Amerika Syarikat juga menyatakan larangan terhadap siaran promosi makanan segera boleh membantu mengurangkan jumlah kanak-kanak yang mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Pakar Ekonomi Universiti Lehigh, Pennsylvania, Shin-Yi Chou berkata, berdasarkan penyelidikan yang dilakukan menyatakan adalah sesuatu yang praktikal untuk mengenakan peraturan larangan berkenaan yang kini hanya dilakukan di Sweden, Norway dan Finland.

“Kita ketahui kegemukan di kalangan kanak-kanak sudah meresapi budaya kita (AS), tetapi penyelidikan berasaskan pengalaman sebenar untuk mengenal pasti pengiklanan televisyen sebagai kemungkinan punca tidak banyak dilakukan,” katanya.

Dipetik penjelasannya, penyelidikannya tertumpu kepada bilangan jam yang menyampaikan mesej iklan restoran makanan segera di televisyen yang ditonton setiap minggu oleh kanak-kanak.

“Hasilnya, kami mendapati larangan terhadap pengiklanan itu akan mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mempunyai lebihan berat badan berusia antara tiga hingga 11 tahun dalam jumlah penduduk tetap sebanyak 18 peratus dan boleh mengurangkan bilangan remaja yang mempunyai lebihan berat badan berusia antara 12 hingga 18 tahun sebanyak 14 peratus,” katanya.

Kajiannya turut mendapati, kanak-kanak menonton purata kira-kira 20,000 iklan yang disiarkan di televisyen di negara itu setiap tahun pada lewat 1970-an, ia kemudiannya meningkat sehingga 30,000 iklan setiap tahun pada akhir 1980-an dan lebih daripada 40,000 iklan setiap tahun pada akhir 1990-an.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan iklan menjadi satu pengaruh besar kepada minda kanak-kanak dan iklan makanan segera juga didapati menjadi daya penarik utama kepada golongan itu.

Kementerian Kesihatan pada 2009 menerusi Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan akan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengawal aktiviti pemasaran dan promosi makanan segera bagi mendidik masyarakat mengamalkan pemakanan sihat.

Beliau berkata, antara langkah yang akan diambil ialah memperkukuhkan pengawalan iklan makanan segera menerusi televisyen selain menambah slot dan kekerapan penyebaran mesej pemakanan sihat menerusi radio, televisyen, surat khabar serta majalah tempatan.

“Kecenderungan mengambil makanan segera dengan kerap memang membahayakan kesihatan kerana makanan yang dihidangkan di restoran makanan segera tinggi kalori, lemak, garam dan gula,” katanya.

Liow berkata, kementerian juga akan menggubal dasar dan peraturan yang membantu mengawal pemasaran, promosi dan penjualan makanan segera di negara ini.

“Antara usaha lain diambil adalah mengawal pengiklanan makanan segera ketika rancangan kanak-kanak di televisyen dan mewajibkan pelabelan kandungan zat pada makanan segera,” katanya.

Sesuatu perlu dilakukan kerana masalah obesiti di kalangan kanak-kanak menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah kian meningkat dan sangat membimbangkan. Berdasarkan perangkaan WHO didapati kanak-kanak prasekolah yang mengalami lebihan berat badan di Asia dijangka meningkat 4.9 peratus menjelang 2020 nanti berbanding hanya 3.2 peratus pada 1990.

Peningkatan ketara dalam masalah berat badan berlebihan kanak-kanak disebabkan banyak faktor. Satu sebab utama adalah perubahan diet ke arah makanan yang tinggi lemak dan gula serta kurang nutrien penting. Makanan ini mengakibatkan kanak-kanak mengambil tenaga yang lebih daripada apa yang mereka perlukan dan tenaga berlebihan ini akan ditukar dan disimpan sebagai lemak.

Contoh makanan penuh tenaga yang disukai kebanyakan kanak-kanak ialah naget goreng, kentang goreng, bebola ayam goreng, minuman berkarbonat dan kordial.

Berdasarkan saranan WHO, pengambilan gula tidak boleh melebihi 10 peratus daripada tenaga harian maka kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun tidak boleh mengambil lebih daripada lima sudu teh atau 25 gram gula sehari dan kanak-kanak empat hingga enam tahun tidak boleh mengambil gula tambahan lebih daripada tujuh sudu teh atau 35 gram sehari.

Antara kemungkinan sebab lain adalah kewujudan makanan segera. Biasanya, makanan ini mengandungi daging yang tinggi lemak dan bijirin kisar. Makanan terbabit juga dihidang bersama air berkarbonat manis yang mengandungi sehingga lapan sudu teh gula tambahan.

Kanak-kanak yang mengalami obesiti ini berisiko menghadapi pelbagai masalah kesihatan termasuk tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi serta kurang keberkesanan insulin.

Semua masalah itu meningkatkan lagi risiko kencing manis, penyakit jantung, strok serta sesetengah jenis kanser apabila mereka meningkat dewasa.

Apa pun juga penyebab berlakunya masalah obesiti di kalangan kanak-kanak negara ini, peranan utama dalam membentuk mereka ke arah kehidupan yang sihat adalah bermula daripada amalan pemakanan keluarga dan pemakanan harian mereka di rumah.

Antara langkah yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa menurut pakar pemakanan adalah dengan memastikan seluruh ahli keluarga terbabit dalam proses pemakanan yang lebih sihat, kerana ia akan mengurangkan perasaan terpencil dalam proses itu. Pastikan bila memilih makanan, makanan itu seharusnya mempunyai kandungan tinggi dalam serat dan lemak yang rendah.

Jika ada anak berusia lebih dua tahun, menggunakan susu yang rendah lemak boleh membantu mengurangkan berat badan. Paling penting sekiranya ibu bapa dapat membantu kanak-kanak mengamalkan senaman termasuk pastikan anak bermain dengan kanak-kanak lain, seluruh keluarga menjalankan senaman seperti berbasikal atau berlari dan pastikan juga anak aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Pakar juga menyarankan agar kanak-kanak dikawal dan dikurangkan menonton televisyen.

Penulis wartawan Harian Metro

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Makanansegera_iklandankegemukan/Article/index_html

Wanita Mudah Simpan Lemak


KUALA LUMPUR 13 Jun – Fisiologi tubuh wanita mudah menyimpan lemak berbanding tubuh lelaki menyebabkan mereka lebih mudah gemuk berbanding lelaki.

Pakar Bedah Am Hospital ColombiaAsia, Seremban, Dr. Abd. Hamid Mat Sain berkata, tubuh wanita secara semula jadi mempunyai lebih banyak lemak berbanding lelaki yang memiliki lebih banyak otot.

Selain itu, katanya, hormon estrogen dan progesteron wanita turut menyebabkan tubuh mereka ‘menyimpan air,’ sekali gus menambahkan lagi berat badan mereka.

‘‘Walaupun wanita lebih mudah gemuk, faktor utama kegemukan tetap berpunca daripada pengambilan makanan dengan lemak atau kalori tinggi.

“Tidak kira jika dimakan sedikit atau banyak, jumlah kalori makanan perlu bersesuaian dengan keperluan tenaga badan.

“Seseorang itu tetap gemuk walaupun makan sedikit tetapi langsung tidak bersenam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Abd. Hamid, penduduk bandar yang bekerja di pejabat tidak sepatutnya

mengamalkan cara pemakanan masyarakat luar bandar yang tinggi karbohidrat terutama nasi.

Jelasnya, masyarakat luar bandar memerlukan makanan tinggi karbohidrat kerana mereka menggunakan tenaga yang banyak untuk bekerja di ladang dan sawah.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan satu juta wanita berusia antara 25 dan 64 tahun di negara ini gemuk berbanding 850,000 orang lelaki gemuk dalam lingkungan usia yang sama.

Ia merupakan hasil kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas 12,000 murid sekolah di Semenanjung Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan berkata, hanya 22 peratus rakyat di negara ini mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan berbanding 60 peratus bagi penduduk di negara-negara maju.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kegemukan turut meningkatkan risiko mendapat kanser payu dara, kanser kolon, prostat, uterus, buah pinggang dan penyakit pundi hempedu menerusi perubahan hormon akibat kegemukan.

Dalam pada itu, Abd. Hamid menekankan kes wanita yang gemuk akibat masalah hormon amat jarang berlaku di negara ini.

‘‘Wanita perlu lebih berdisiplin dalam menjaga pemakanan dan kerap bersenam berbanding lelaki kerana sudah menjadi sifat semula jadi badan mereka lebih mudah menyimpan lemak.

‘‘Tambahan pula makanan orang Melayu dan makanan tradisional Asia banyak menggunakan karbohidrat, misalnya nasi dan mi yang akan ditukarkan menjadi lemak jika diambil secara keterlaluan,” ujarnya.

Beliau berkata, penyelesaian untuk masalah ‘ciptaan manusia’ ini amat mudah iaitu mengamalkan pemakanan seimbang serta melakukan senaman sekurang- kurangnya tiga kali seminggu, 30 minit setiap kali.

 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0614&pub=utusan_malaysia&sec=dalam_negeri&pg=dn_03.htm&arc=hive&arc=hive

5 Senaman Untuk Kecilkan Peha

Sesetengah orang mempunyai bentuk badan seperti buah pear. Bahagian seperti pinggul dan peha kelihatan berisi dan tidak seimbang dengan bahagian atas badan anda. Sekiranya anda mengalami masalah ini, sudah tentu anda tercari-cari bagaimana cara untuk mengecilkan bahagian peha anda. Antara cara yang biasa kita lihat di sekeliling kita ialah dengan berlari atau jogging, berjalan atau ‘walkathon’, dan berbasikal. Tiga cara ini adalah sangat sinonim untuk mengurangkan lemak di bahagian peha. Adakah anda terfikir cara lain untuk mengecilkan peha anda? Berikut merupakan langkah-langkah aktiviti yang boleh anda lakukan untuk mengecilkan bahagian peha anda:

1. ‘Kerusi bayangan’

Berikut adalah panduan untuk senaman “kerusi bayangan”:
  • Berdiri tegak sambil bersandar pada dinding.
  • Rehatkan tangan pada dinding dan turunkan badan perlahan-lahan. Turunkan badan sehingga kedudukan badan seperti sedang duduk. Bayangkan anda sedang duduk di atas kerusi.
  • Bila anda sudah ‘duduk’, cuba bertahan selama mana yang anda boleh sebelum anda berdiri tegak semula. Kebanyakan orang hanya boleh bertahan untuk beberapa saat sahaja pada permulaan. Setelah membiasakan diri, anda pasti akan dapat bertahan lebih lama.
  • Pastikan badan anda tegak semasa ‘duduk’.
  • Cuba capai 10 saat pada permulaan, dan bertahan sehingga 1 minit setelah melakukannya beberapa kali. Lakukan 5 kali setiap hari.
Latihan ini agak mencabar kesabaran dan kekuatan mental anda. Mula-mula mungkin susah, tapi kalau dah lama-lama, anda mesti rasa sudah biasa.

2. Pergerakan “menggunting”

Latihan ini menumpukan bahagian peha sebelah dalam. Senang sangat! Baring atas lantai dengan kedua belah tangan di sisi. Angkat kedua belah kaki lebih kurang 45 darjah. Bayangkan pergerakan gunting semasa memotong kertas. Silangkan kaki anda dengan kaki kanan bersilang di atas kaki kiri. Kemudian, tukar kaki kepada kaki kiri pula bersilang di atas kaki kanan. Ulang langkah ini 12 – 15 kali untuk setiap set. Anda akan dapat rasa tekanan di otot-otot bahagian peha anda.

3. Pusingan bulatan

Baring mengiring di atas lantai dengan sebelah tangan anda ke atas (baring berbantalkan lengan anda) dan letakkan tapak tangan sebelah lagi di atas lantai di hadapan perut anda. Angkat sebelah kaki ke atas setinggi yang boleh. Tarik nafas, dan pusingkan kaki yang anda angkat itu mengikut pusingan jam. Gerakkan seluruh kaki tanpa menggerakkan pinggul anda. Buat pusingan jam sebanyak 5 kali sebelum ulang langkah tersebut menggunakan kaki yang sebelah lagi pula. Lakukan sehingga 10 set jika boleh.

4. Pakai kasut tinggi!

Kalau sebelum ini kita memerlukan alasan untuk pakai kasut tinggi, inilah masanya! Memakai kasut tinggi boleh membentuk otot betis dan peha. Walaupun kita kena beringat yang amalan memakai kasut tinggi ini boleh memberi kesan buruk kepada kaki dan postur, oleh itu anda perlulah berhati-hati! Kajian mengatakan bahawa kita tidak sepatutnya menggunakan kasut tumit tinggi yang melebihi 2 inci!

5. Melompat di atas trampoline

Melompat di atas trampoline ini sangat baik untuk peredaran darah dalam badan, pembakaran lemak, meningkatkan metabolism, mengurangkan selulit dan membentuk kaki yang cantik. Lakukan aktiviti ini selama setengah jam dapat membakar hampir 200 kalori dalam badan. Ia juga aktiviti yang sangat menarik yang anda boleh lakukan bersama keluarga mahupun rakan-rakan anda!
Aktiviti-aktiviti ini perlu dilakukan dengan sokongan pemakanan yang berkhasiat dan sihat secara konsisten. Semakin konsisten latihan disusuli dengan pemakanan yang sihat, semakin cepat anda boleh melihat hasilnya. :)
http://kevinzahri.com/blog/health-fitness/5-senama-kecilkan-peha/

Petua Wanita Untuk Elak Dan Rawat Perut Buncit

Assalamualaikum ...


dulu ahkak selim melim tau..sekeping je body nie..sekarang dah anak sorang..selim jugak tapi tak berapa nak melim...hahaha..tang perut tu la...kat ofis tu keje nya duduk je dari  pagi sampai petang..lepas beranak pulak tak bertungku, mengurut pun tak...c-sect..huhu..apa pun tak boleh!

jom amalkan beberapa petua untuk atasi maslah perut buncit! (serius mengajak diri sendiri)

1) Amalkan cara duduk tegak. Apabila duduk dalam keadaan membongkok, perut bahagian bawah akan kelihatan lebih besar. Untuk melatih otot sentiasa kencang, amalkan mengemut otot perut ketika sedang duduk. Kemudian tarik bahu ke belakang dan dagu ke atas. Sandarkan punggung bawah dekat pada penyandar kerusi. Amalan ini membantu membaiki postur badan anda.

- owh..sangat sesuai untuk yaya yg keje kat duduk je kat kerusi ni..tak pakai duit pulak tu..hehe..benda pree semua suka kann..

2) Sapu perut dengan perahan limau dan kapur makan...sapu dalam urutan membulat hokey. Kalau rajin boleh balut dengan bengkung.Kena amalkan selalu. 

- Ermm..yg nie agak susah walaupun limau nupis takde la mahal mana..sebabnya selalu tertidur dalam keadaan belum bersedia nak tidur..^_^

3) Ambil sedikit daun lidah buaya, masukkan ke dalam periuk dan tambahkan dengan air asam jawa. Didihkan dengan api kecil sehingga pekat. Tutup api dan biarkan ramuan menjadi suam dan kemudia baru dilumrkan pada perut.

- tak berapa nak rajin la nak membuatnya...hehe

4) Ambil sedikit asam jawa dan bancuh dengan segelas air panas. Biarkan semalaman. Esoknya baru minum. Amalkan setiap hari sehingga mendpat perut idaman..

- hmmm...boleh tambah gula sikit tak..kiki

5) Jaga pemakanan. Jangan makan makanan berlemak dan berminyak. Ais jangan minum.

- Insya Allah...




hmm..sekarang rasa boleh buat no.1 dengan no.5 je..hehe..nak selim dan melim tp penyakit M sentiasa didepan..


 -google-



*segala petua diambil dari dalam simpanan (koleksi dari pelbagai majalah) dan juga internet....
http://diariibuwafiq.blogspot.com/2012/06/petua-wanita-untuk-elak-dan-rawat-perut.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...