HARI ini pemeriksaan kesihatan ataupun saringan kesihatan sangat
penting bagi setiap individu agar sentiasa peka terhadap perkembangan
tubuh badan sendiri dan tidak mengambil mudah mengenai isu kesihatan.
Tambahan pula pelbagai penyakit mudah menyerang mereka yang tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Begitu juga dengan sindrom metabolik. Ia dipercayai berpunca daripada
berat badan yang berlebihan (obesiti),
ukur lilit perut yang berlebihan (buncit),
hipertensi, paras kolesterol yang tinggi (hiperkolesterolemia) dan
peningkatan paras glukos dalam darah (diabetes atau prediabetes).
Kesemua penyakit yang disenaraikan di atas adalah kombinasi masalah
perubatan yang menjurus kepada sindrom metabolik dan ia secara tidak
langsung merupakan ancaman kesihatan yang membimbangkan.
Menurut Pakar Perubatan dan Endokrin, Hospital Pusrawi, Dr.
Shaharuddin Che Kadir, lazimnya pesakit tidak menyedari diri mereka
menghidap sindrom metabolik.
Ini kerana, katanya, sindrom ini tidak mempunyai tanda-tanda khusus
melainkan dengan kehadiran pelbagai penyakit kronik yang dihidapi oleh
penghidap yang menyebabkan kepada kewujudan sindrom tersebut.
“Sekiranya seseorang individu tersebut mempunyai tiga daripada lima
komponen penyakit yang dinyatakan, mereka ini akan dilabelkan sebagai
penghidap sindrom metabolik.
“Selalunya, sama ada seseorang itu mempunyai sindrom metabolik atau
tidak, beberapa persoalan perlu ditanya kepada diri sendiri,” katanya
ketika ditemui sempena Minggu Kesihatan, di hospital berkenaan baru-baru
ini.
Tambah beliau lagi, seseorang cenderung menghidap sindrom metabolik
jika mempunyai ukur lilit pinggang melebihi 80 sentimeter (sm) bagi
perempuan dan 90 sm bagi lelaki.
Kebiasaannya penghidap sindrom ini mempunyai gaya hidup yang tidak sihat akibat kurang atau tiada masa melakukan senaman.
Faktor lain yang menyumbang kepada sindrom tersebut adalah peningkatan umur,
berat badan berlebihan, sejarah keluarga, perokok,
pemakanan yang tidak sihat serta cara hidup yang tidak sihat.
Mengulas lanjut mengenai sindrom ini, menurut Dr. Shaharuddin, kajian
kesihatan yang dilakukan pada tahun 2006 mendapati dua daripada lima
orang dewasa ataupun 43 peratus rakyat Malaysia mempunyai masalah berat
badan berlebihan.
Bagi kategori remaja yang berumur antara 12 hingga 18 tahun pula, sebanyak 38 peratus mempunyai masalah berat badan berlebihan.
Ulas beliau lagi, semua individu yang mempunyai masalah sindrom
metabolik memerlukan motivasi bagi mengubah gaya hidup yang lebih sihat.
Beliau turut menasihatkan individu yang mempunyai sejarah keluarga
seperti masalah jantung, hipertensi dan diabetes supaya segera
mendapatkan rawatan kerana mereka berisiko tinggi untuk mewarisi sindrom
tersebut.
“Jika ada individu yang menghidap sindrom ini, segeralah jalani
pemeriksaan doktor dan sentiasa awasi kesihatan secara berterusan.
“Bagaimanapun, sindrom metabolik ini tidak semestinya dihidapi oleh
mereka yang obes dan ada kebarangkalian mereka yang bertubuh kurus turut
menghidap sindrom ini,” tambahnya lagi.
Justeru, katanya, bagi mengelak masalah lebih parah, pesakit
digalakkan mengambil makanan yang sihat dan tingkatkan aktiviti fizikal
mereka – UTUSAN
http://www.jomdiet.com/obesiti-antara-tanda-awal-penyakit-kronik/