Kombinasi Gizi Terlazat: ‘Karbohidrat + Lemak’

Gizi (macronutrient/makronutrien) merupakan komponen yang diperlukan oleh satu-satu organisma untuk tujuan metabolisma (menjalankan kerja, luaran dan dalaman) dan pembesaran (pertambahan jisim tulang, otot, lemak), yang diperoleh dari sumber di sekelilingnya dalam jumlah yang banyak. Terdapat 3 jenis makronutrien iaitu karbohidrat, lemak dan protein, dan ketiga-tiga ini memainkan peranan berbeza dalam memberikan tenaga (kalori) untuk tujuan metabolisma dan pembesaran manusia.

Apakah contoh-contoh karbohidrat, protein dan lemak yang jelas? Secara semulajadi, makanan berasaskan karbohidrat ialah nasi, gandum, buah-buahan, sayur-sayuran, dan beberapa sumber kekacang. Makanan berasaskan protein ialah ikan, telur, ayam, dan daging, manakala yang berasaskan lemak ialah santan, minyak dan beberapa sumber kekacang.
Contoh makanan yang telah diubah suai menjadi lazat dan kurang sihat

Walaubagaimanapun, makan makananan ini semata-mata pastinya  amat membosankan, dan oleh itu ia perlu disediakan/dimasak supaya terdapat ‘variasi’ dari segi rasanya, juga komposisi makronutriennya. Sebagai contoh, bayangkan jika anda makan ikan kembung rebus (protein) semata-mata, pastinya akan berasa muak bukan? Namun apabila ikan kembung ini digoreng (protein + lemak), rasanya sudah menjadi sedap dan boleh diterima tekak.

Dalam ketiga-tiga makronutrien ini, hanya ada 2 jenis makronutrien sahaja yang bertanggungjawab membuatkan kita mudah naik berat badan, yakni karbohidrat dan lemak. Karbohidrat, terutamanya yang sudah diproses dan ringkas, merupakan penyebab utama kenaikan berat badan kerana karbohidrat mudah ditukarkan kepada gula ringkas yang bertanggungjawab menggalakkan rembesan insulin oleh pankreas. Insulin merupakan hormon yang bertanggungjawab membawa gula ringkas ini sel, lalu menukarkannya kepada glycogen (dalam otot dan hati), seterusnya akan ditukarkan kepada lemak jika paras glycogen tadi berlebihan. Lemak juga bertanggungjawab kepada kenaikkan berat badan seseorang kerana lemak adalah berkalori tinggi berbanding karbohidrat dan protein. 1g Lemak bersamaan dengan 9kcal, sedangkan 1g Karbohidrat dan 1g Protein hanyalah bersamaan dengan 4kcal sahaja.

Namun di Malaysia, SS perhatikan kebanyakkan makanan yang menjadi pilihan orang ramai ialah makanan yang berasaskan 2 makronutrien ini, Karbohidrat + Lemak. Mana perginya sumber protein? Kenapa kurang protein? Nampak sangat ketidakseimbangan nutrisi di situ. Komposisi makronutriennya sangat lemah. Maka tidak mustahillah peningkatan kadar obesiti di negara kita semakin menjadi-jadi dekad demi dekad. Semua adalah disebabkan ketagihan rakyat Malaysia mencari makanan-makanan sedemikian rupa.

Berikut SS senaraikan beberapa makanan di Malaysia yang tergolong dalam kategori rendah protein tetapi kaya dengan ‘Karbohidrat + Lemak’, berserta dengan peratusan purata komposisi Karbohidrat dan Lemaknya berdasarkan gram (bukan nilai kalori). Kalau boleh, elakkan makanan sebegini, atau kalau nak makan, hanya makan ketika ‘cheat day‘ atau sebulan sekali sahaja.

1. Kentang Goreng (French Fries)
Karbohidrat = Kentang (66%)
Lemak = Minyak (29%)
Protein = 5%

2. Kek (gulung, atau kek harijadi)
Karbohidrat = Tepung, gula (63%)
Lemak = Krim, mentega (27%)
Protein = 10%

3. Kek Keju (Cheese cake)
Karbohidrat = Tepung, gula (48%)
Lemak = Krim, mentega, keju (42%)
Protein = 10%

4. Pisang Goreng
Karbohidrat = Pisang (86%)
Lemak = Minyak (11%)
Protein = 3%

5. Keropok (tak kiralah apa jenis keropok pun)
Karbohidrat = Tepung (63%)
Lemak = Minyak (26%)
Protein = 11%

6. Cucur (tak kiralah apa jenis cucur)
Karbohidrat = Tepung, gula (67%)
Lemak = Minyak (22%)
Protein = 11%

7. Tempeyek
Karbohidrat = Tepung (36%)
Lemak = Minyak (45%)
Protein = 19%

8. Coklat (pelbagai jenama)
Karbohidrat = Gula (60%)
Lemak = Minyak, lemak tenusu (35%)
Protein = 5%

Komen SS: Pisang goreng paling rendah kandungan protein (3%), diikuti dengan kentang goreng atau potato spring (5%). Padahal ini yang orang Malaysia suka makan kan?

http://sususejat.com/kombinasi-gizi-terlazat-karbohidrat-lemak/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...