Teori Sel Lemak

Adakah lemak yang anda makan semalam akan terus menempek membentuk lemak dalam badan? Apakah penurunan berat badan yang banyak bererti jumlah sel lemak anda juga berkurangan dengan banyak?
 

Masih ingat dengan entri aku dahulu yang bertajuk “Apakah jenis tubuh badan anda“? Dalam entri tersebut aku ada membincangkan bahawa tubuh badan manusia secara amnya boleh dibahagikan kepada 3 jenis iaitu Endormoph, Mesomorph, dan Ectomorph. Apakah perbezaan antara ketiga-tiga jenis tubuh badan ini? Jika kita ulangkaji kembali topik tersebut, secara genetik jenis tubuh badan Endomorphlah yang memiliki lebih banyak bilangan sel lemak berbanding Mesomorph dan Ectomorph. Disebabkan faktor ini juga mereka yang memiliki ciri-ciri Endomorph lebih mudah untuk menyimpan lemak andaikata berlakunya pengambilan kalori yang lebih untuk jangka masa panjang.

Tunggu seminit, Sel lemak? Apakah bendanya itu?

Sel lemak, atau nama sainsnya adipocyte atau lipocyte merupakan sel hidup yang tinggal di dalam badan kita. Sel hidup? Ya, anda tidak salah mendengar, mereka memang wujud dan hidup dalam semua tubuh badan manusia, tidak mengira kaum, bangsa, jantina, kecil, dewasa, selagi namanya itu manusia dan apa-apa sahaja haiwan yang jatuh di bawah kategori animal kingdom, maka di dalam tubuh mereka WAJIB akan ada apa yang dikenali sebagai sel lemak. Ia merupakan komponen penting dalam kemandirian benda hidup yang jatuh di bawah kategori animal kingdom.

Setiap sel di dalam badan manusia dicipta pasti ada fungsinya. Tahukah anda apa fungsi sel lemak dalam badan manusia? Sel lemak berfungsi sebagai ‘stor’ yang menyimpan segala lebihan tenaga yang terlebih (kalori masuk lebih banyak dari kalori keluar) untuk disimpan sebagai tenaga jangka masa panjang. Secara umum, badan manusia menyimpan lebihan tenaga dalam dua bentuk iaitu
  1. Glycogen – sumber tenaga jangka masa pendek – di simpan dalam sel otot dan hati
  2. Lemak – sumber tenaga jangka masa panjang – majoriti di simpan dalam sel lemak
Kini anda mungkin sudah dapat membezakan apakah itu lemak dan apa itu sel lemak – kedua-duanya adalah 2 entiti yang berlainan tapi saling berkait rapat antara satu sama lain. Aku akan huraikan dengan lebih lanjut perbezaan antara keduanya dalam senario-senario yang akan dibincangkan selepas ini.

2 jenis sel lemak: Putih dan Perang


Secara umum, terdapat 2 jenis sel lemak di dalam badan kita, iaitu sel lemak putih dan sel lemak perang. Sel lemak putih mendapat jolokan ‘putih’ disebabkan fisiologinya yang majoritinya terdiri dari lipid  separa cecair yang mana sebahagian besar terdiri daripada triglycerides dan cholesteryl ester. Fungsi utamanya pula adalah sebagai penebat haba dan juga pasti, sebagai ‘stor’ penyimpanan lemak. Sel lemak perang pula mendapat jolokan ‘perang’ kerana fisiologinya yang terdiri dari banyak mitochondria (banyak zat besi dalam mitochondria yang membuatkan ianya perang) – oleh sebab itu fungsinya adalah lebih kepada menghasilkan haba kepada tubuh badan.

 
Rajah: Sel lemak perang (kanan) mengandungi lebih banyak mitochondria (M), manakala Sel lemak putih (kiri) mempunyai ruang penyimpanan lemak yang lebih besar (LV – Lipid Vacuole), ini membuatkan saiznya menjadi lebih besar. Teori sel lemak yang bakal dibincangkan sebentar lagi lebih merujuk kepada sel lemak putih kerana nisbah bilangannya yang jauh lebih banyak berbanding sel lemak perang dalam badan manusia.

Bagaimana sel lemak terhasil?

Apabila membicarakan bagaimana satu-satu sel lemak itu terhasil, maka kita sebenarnya sudah selangkah membicarakan tentang teori sel lemak. Teori sel lemak menyatakan bahawa penghasilan sel lemak terbahagi kepada 3 peringkat, iaitu
  1. pertama, sedari kita dalam rahim ibu lagi sehinggalah kita berumur 2 tahun,
  2. kedua, dari umur 2 tahun hinggalah ke umur 7 tahun, dan
  3. ketiga, dari umur 7 tahun hinggalah kepada fasa di mana kita tidak boleh menjadi tinggi dan membesar lagi, yakni pertumbuhan kita dah capai plateau (usia dewasa, anggaran 20an dan ke atas ).

Pembentukan sel lemak pada peringkat pertama berlaku seawal pembentukan bayi dalam rahim ibu lagi, dan ini adalah normal bagi semua manusia. Kebanyakannya didorong oleh faktor genetik, terutamanya mereka yang awal-awal lagi telah dilahirkan sebagai Endomorph. Sebagai contoh, bayi A (baru lahir) mempunyai lebih banyak sel lemak berbanding bayi B (juga baru lahir) kerana ibu bapa bayi A masing-masing tembam orangnya (Endomorph), sedangkan ibu bapa bayi B kurus-kurus orangnya.

Masuk peringkat kedua, apabila seseorang kanak-kanak yang sedang membesar mengambil terlalu banyak kalori di zaman kanak-kanaknya, maka kalori yang berlebihan itu akan ditukarkan kepada lemak, lalu disimpan di dalam sel-sel lemak sedia ada. Sel-sel lemak sifatnya lebih dinamik berbanding sel otot, yang mana ia boleh mengembang dan membesar mengikut saiz lemak yang tersimpan di dalamnya. Untuk memahami fenomena ini, anda boleh membayangkan bagaimana rupanya sebiji belon yang mengembang apabila diisi dengan air. Jangan terkejut apabila satu sel lemak boleh mengembang berkali-kali ganda lebih besar berbanding saiz asal, sekaligus membuatkan badan anda turut kelihatan ‘mengembang’ (gemuk). Apabila sel lemak telah mengembang terlalu besar, kira-kira 4 kali ganda berbanding saiz asal, ia akan mula menghantar signal kepada nukleusnya untuk proses seterusnya iaitu untuk membahagi secara mitosis (satu sel lemak akan membahagi menjadi 2 sel lemak, ini merupakan salah satu cara bagaimana bilangan sel lemak bertambah dalam badan).


Bolehkah Sel lemak dihapuskan ketika menurunkan berat badan?

Proses penambahan sel lemak ini berterusan apabila kanak-kanak tersebut terus menerus disumbat dan disumbat dengan lebihan kalori, dan dari tahun ke tahun (hingga habis peringkat ketiga, yakni dewasa) sel lemak yang terkumpul menjadi semakin banyak, hanya untuk mengimbangi permintaan badan yang memerlukan lebih banyak ruang penyimpanan lemak. Selagi individu tersebut berada pada ketiga-tiga peringkat yang dinyatakan tadi, maka tubuh akan terus menghasilkan sel-sel lemak yang baru untuk menampung keperluan ini.

Namun apa yang menakutkan di sini ialah, sel-sel lemak akan sentiasa boleh dihasilkan jika terdapatnya keperluan, TETAPI sel-sel lemak itu angkanya tidak akan berkurang meskipun anda sudah kurus! Apabila seseorang menurunkan berat badan, badan akan menggunakan “tenaga simpanan jangka masa panjang ini” untuk mengimbangi kembali defisit kalori yang dicapai menerusi diet kurang kalori dan senaman. Tetapi anda harus ingat, yang diambil oleh badan itu hanyalah lemak yang tersimpan dan bukannya sel lemak itu sendiri – sel lemak itu benda hidup, bukannya sumber tenaga tubuh badan, justeru itu ia seharusnya kekal dalam badan.

Untuk memahami konsep ini dengan lebih mudah, senario berikut mungkin membantu. Katakan ada 2 orang individu, seorang bernama Rosli, obese sejak remaja dan memiliki kira-kira 40billion sel lemak, manakala seorang lagi bernama Raju, langsung tidak pernah obese (never obese) dan memiliki kira-kira 20billion sel lemak dalam badannya. Andaikata Rosli berjaya menurunkan berat badan dari 100kg kepada 50kg (reduced obese, penurunan berat 50%), maka adakah beliau kini mempunyai 20billion sel lemak sama seperti Raju? (penurunan bilangan sel lemak sebanyak 50%)? Teori sel lemak sekali lagi menyatakan itu tidak benar, yang kempis itu hanya saiz sel lemak tersebut, sedangkan beliau masih memiliki 40billion sel lemak di dalam badannya, BUKAN 20billion!

 

Dengan bilangan sel lemak yang banyak sebegini, bila-bila masa sahaja badan boleh memberikan arahan untuk menyimpan kembali lemak ke dalam ‘sel-sel lemak yang kosong’ andaikata terdapatnya pengambilan kalori berlebihan. Ini merupakan sebab utama mengapa seseorang yang berjaya menurunkan berat badan akan mengalami pertambahan berat mendadak sekiranya beliau kembali kepada tabiat buruk ketika gemuk.

Lalu bagaimana untuk mencegah sel lemak dari bertambah/mengembang?

2 strategi boleh diterapkan di sini, salah satunya adalah pencegahan sedari usia awal lagi.  Penambahan sel lemak yang melampau haruslah dicegah ketika anak itu masih kecil lagi (peranan ibu bapa amat penting dalam mencorak diet dan tubuh badan anak-anak, kerana pembentukan sel lemak hanya berlaku ketika zaman kanak-kanak hingga dewasa).

Strategi kedua pula lebih kepada mencegah sel lemak sedia ada untuk kembali mengembang (justeru membuat kita kelihatan kembali gemuk). Buat mereka yang pernah obese seperti encik susu sejat ini pun tidak mustahil untuk menjadi obese kembali andaikata tabiat lama itu diulangi. Apa yang penting di sini, bukan perubahan badan yang perlu difikirkan, tetapi perubahan gaya hidup. Apabila anda merubah gaya hidup, dengan izin Tuhan percayalah rupa badan akan pasti turut berubah sama. Jangan sesekali salahkan sel lemak, tetapi salahkan diri sendiri yang tak pernah beringat.


Fakta menarik tentang sel lemak
  1. Proses penyimpanan lemak ke dalam sel lemak merupakan sebahagian dari proses Lipogenesis.
  2. Proses penyingkiran lemak dari sel lemak merupakan sebahagian dari proses Lipolysis.
  3. Setiap manusia mempunyai bilangan sel lemak yang berbeza.
  4. Tak mustahil untuk seorang yang kurus mempunyai bilangan sel lemak lebih banyak dari seorang yang gemuk – gemuk atau kurus seseorang bergantung kepada kedua-dua jumlah bilangan dan saiz sel lemak.
  5. Seorang wanita yang mempunyai peratusan lemak badan sebanyak 20% mempunyai tenaga penyimpanan jangka masa panjang (lemak) yang cukup untuk sebulan.
  6. Secara purata, seorang dewasa mempunyai kira-kira 30billion sel lemak, yang mana bersamaan kira-kira 13.5kg.
  7. 10% daripada sel lemak yang anda miliki akan mati setiap tahun, dan digantikan secara automatik oleh tubuh badan dengan sel lemak yang baru. Ini membuatkan bilangan sel lemak dalam badan anda tetap sama dan tidak pernah berkurang.
  8. Kajian terkini (Tchoukalova et al, 2010) mula menunjukkan meskipun seseorang dewasa itu sudah melepasi ketiga-tiga fasa pembentukan sel lemak, namun pembentukan/penambahan sel lemak untuk bahagian bawah badan (perut, peha, punggung) masih berlaku apabila berlaku kegemukan. Sel lemak untuk bahagian atas badan masih mengikut teori sel lemak yang asal (tidak bertambah meskipun berlaku kegemukan ketika dewasa).
  9. Kajian Tchoukalova tersebut sekaligus mempersoalkan teori sel lemak sedia ada, apakah bilangannya akan terus bertambah meskipun pembesaran seseorang sudah mencapai plateau? Walaubagaimanapun, hanya satu sahaja jawapan yang pasti setakat ini – BILANGAN SEL LEMAK TIDAK AKAN SESEKALI PERNAH BERKURANG DALAM BADAN ANDA, TIDAK KIRA APA YANG ANDA LAKUKAN, TERMASUKLAH MENURUNKAN BERAT BADAN DENGAN CARA PEMBEDAHAN.
Rujukan dalam menulis entri kali ini antara lain ialah:
  • Albright, A.L. and Stern, J.S. (1998). Adipose tissue. In: Encyclopedia of Sports Medicine and Science, T.D.Fahey (Editor). Internet Society for Sport Science: http://sportsci.org. 30 May 1998.
  • Pool, Robert (2001). Fat: fighting the obesity epidemic. Oxford [Oxfordshire]: Oxford University Press. ISBN 0-19-511853-7
  • Tchoukalova, YD.; Votruba, SB; Tchkonia, T.; Giorgadze, N.; Kirkland, JL.; Jensen, MD. (2010). “Regional differences in cellular mechanisms of adipose tissue gain with overfeeding”. PNAS 107 (42): 18226-31.
http://sususejat.com/teori-sel-lemak/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...