Mengukur ukur lilit perut adalah salah satu cara menilai jaringan lemak di perut untuk mengetahui samada seseorang itu berisiko mengalami kegemukan atau obesiti dan mengalami komplikasi metabolik.
Perut yang buncit meningkatkan potensi berlakunya sindrom metabolik seperti diabetes, hipertensi, disipidemia (gangguan lemak darah/kolesterol) serta meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dan pembuluh darah tersumbat.
Ukuran lilit perut yang ditetapkan oleh WHO (Organisasi Kesihatan Sedunia) untuk Asia Pasifik adalah di bawah 90 sm untuk lelaki dan kurang 80 sm bagi wanita.
Punca Bertambahnya Ukur Lilit Perut
Gaya hidup
Pola pemakanan yang tidak betul adalah punca utama berlakunya pertambahan ukur lilit perut. Kurang melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh dan pengambilan makanan melebihi jumlah yang diperlukan akan lebihan kalori disimpan sebagai lemak dalam sel-sel lemak.
Lemak yang bertimbun-timbun di seluruh tubuh termasuk perut akan meningkat seiring pertambahan berat badan dan gaya hidup tidak sihat.
Kalori berlebihan ini banyak terdapat dalam makanan kurang serat atau pun tinggi lemak tepu. Makanan diproses seperti daging, beberapa jenis marjerin, makanan bergoreng terutama yang menggunakan minyak goreng yang digunakan berulangkali, beberapa jenis kuih dan daging merah adalah antara sumber penyumbang utama.
Usia
Secara semulajadi, aktiviti seseorang akan berkurangan seiring dengan pertambahan usianya. Bahkan jisim otot akan turut berkurangan disebabkan aktiviti yang semakin berkurangan. Ini menjurus kepada penambahan berat badan dan ukur lilit perut.
Sekiranya aktiviti yang berkurangan tersebut tidak diimbangi dengan pengurangan pengambilan kalori, akibatnya semakin meningkat usia, perut akan semakin membuncit.
Keturunan
Ada sesetengah pendapat mengatakan sekiranya ibu bapa mempunyai ukur lilit perut yang besar, maka anak juga berpotensi memiliki perut yang besar. Kebanyakan lelaki cenderung menyimpan lemak di perut atas menyebabkan mereka berpotensi mempunyai perut buncit.
Sebahagian besar wanita sebelum menopaus cenderung menyimpan lemak di bawah perut, sisi peha dan pinggul. Selepas menopaus, lemak lebih banyak tersimpan di perut sebelah atas.
Alkohol
Kajian membuktikan pengambilan alkohol berlebihan boleh menyebabkan tubuh kurang efisien dalam membakar lemak. Lemak semakin banyak dalam tubuh seiringan dengan kebiasaan pengambilan alkohol.
Hormon
Peningkatan stress dalam kehidupan seharian seperti kurang tidur juga boleh menyebabkan lemak perut bertambah. Tabiat kurang tidur akan meningkatkan produksi hormon kortisol dalam otak dan sekaligus meningkatkan penimbunan lemak perut.
http://carauntukkurus.com/punca-perut-buncit
No comments:
Post a Comment