Risiko Pil Pelangsing Tak Berdaftar


Masihkan Anda Ingat Kejadian yang menimpa Adrea?

Pada tahun 2002, masyarakat dunia dikejutkan dengan kisah seorang pelakon Singapura, Andrea De Cruz, yang nyaris maut gara-gara mengambil pil pelangsing.

Insiden itu benar-benar memberi kesan dan menginsafkan kalangan wanita yang sebelum itu telah dan berhasrat mencuba kaedah sama, semata-mata mahu memperoleh bentuk badan idaman.

De Cruz yang mengalami kegagalan fungsi hati secara tiba-tiba, terpaksa menjalani pemindahan hati untuk menyelamatkan nyawanya.

Walaupun memenangi kes saman terhadap pengedar pil itu dan diberi ganti rugi berjumlah hampir S$900,000 (RM1.9 juta) oleh Mahkamah Tinggi, belum tentu peristiwa itu dapat dilupakan begitu sahaja.

Yang pasti ia meninggalkan trauma kepada wanita yang pernah bercita-cita menjadi ratu cantik dunia semasa kecilnya itu.

Antaranya, melibatkan seorang pekerja pusat hiburan di Kuantan, Pahang,yang dikatakan mengambil ubat melangsingkan badan dan alkohol secara berlebihan.

Turut dikaitkan seorang kakitangan Kementerian Kesihatan, Rosni Mat, 24,.

Bekas graduan di salah sebuah universiti tempatan yang mempunyai ketinggian 164 sentimeter dan berat antara 80 hingga 90 kilogram itu didakwa membeli ubat pelangsing berasaskan herba melalui internet.

”Sebagai jalan pintas, masih ramai yang mengambil pil pelangsing tanpa memikirkan kesan sampingan,” kata Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Khoo Kar Lin pada sesi ceramah bertajuk Kehidupan dan Kematian: Kebenaran Tentang Penggunaan Ubat-Ubatan bagi Penurunan Berat Badan, di salah sebuah hotel di ibu negara baru-baru ini.

Menurut beliau, memiliki tubuh kurus dan langsing menjadi satu trend kepada individu terutama wanita hari ini.

Kebanyakan individu ini menganggap tubuh sedemikian bukan sahaja berupaya menukar diri mereka kelihatan lebih cantik, bahkan sihat dan sempurna terutama dari segi penampilan.

”Ini turut dipengaruhi dengan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan serta bebas daripada penyakit yang diakibatkan oleh kegemukan atau berat badan berlebihan,” katanya.

Katanya, kegemukan yang dikaitkan dengan kemajuan serta perubahan gaya hidup juga dikesan sebagai punca pelbagai jenis penyakit.

Antaranya, kencing manis, jantung, darah tinggi dan pelbagai jenis kanser.

Beliau juga memberitahu, menyekat pemakanan atau berdiet sahaja tidak cukup menjadikan ia kenyataan.

Jika sekalipun seseorang itu berjaya menguruskan badan, tetapi kulit yang dulunya tegang kini mulai kendur akibat tidak bersenam.

Senaman kata Khoo, penting bukan sahaja ingin memperoleh bentuk tubuh menarik, tetapi tahap kesihatan juga dapat dikekalkan.

”Ia patut dijadikan amalan dalam gaya hidup sihat seharian di samping memastikan pengambilan makanan seimbang mengikut piramid yang betul,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, pengambilan pil pelangsing bukan sahaja satu pembaziran, lebih besar kesan terhadap kesihatan seseorang.

Tambahnya, tiada gunanya jika seseorang itu berjaya mengurangkan berat badan dalam masa singkat sekalipun, tetapi gagal mengekalkannya dan menyebabkan masalah kesihatan lain pula.

”Selain terdedah kepada kemungkinan mengalami kerosakan organ dalaman, individu itu juga menghadapi risiko maut jika tersalah langkah.

”Ini kerana ada ubat penahan lapar yang memberi kesan sampingan pada kesihatan dan menjejaskan sistem saraf pusat di dalam tubuh seseorang,” katanya

Sumber : Utusan Malaysia : 26/04/2005

http://www.tip.kuruskanbadan.com/tragedi-nak-kurus/risiko-pil-pelangsing/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...