Makan Luar Lewat Malam, 40% Budak Makin Gemuk


KUALA TERENGGANU 8 Jun – Dianggarkan 40 peratus kanak-kanak di Lembah Klang mengalami masalah kegemukan atau obesiti disebabkan gaya hidup ibu bapa yang gemar membawa keluarga makan di luar selepas pukul 10 malam.

Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Profesor Dr. Zulkifli Ismail berkata, budaya makan di luar semakin sinonim dengan gaya hidup masyarakat di kawasan itu berikutan taraf sosio-ekonomi yang semakin baik.

Beliau yang bimbang dengan perkembangan itu berkata, masalah tersebut harus diberi perhatian lebih serius memandangkan berat badan berlebihan boleh membawa risiko penyakit kronik iaitu darah tinggi, kencing manis dan jantung di kalangan kanak-kanak.

Menurutnya, walaupun tiada kajian menyeluruh dilakukan, namun berdasarkan gaya hidup yang diamalkan masyarakat kini, ia menyumbang kepada peningkatan kadar obesiti kanak-kanak.

“Umpamanya saya lihat kebanyakan ibu bapa di Selangor gemar membawa seisi keluarga makan di restoran selepas pukul 10 malam. Ini bukan gaya hidup yang sihat, justeru ia perlu ditukar.

“Kanak-kanak yang mengalami obesiti lazimnya akan membesar sebagai orang dewasa yang gemuk dan terdedah kepada pelbagai jenis penyakit berbahaya iaitu darah tinggi, kencing manis, jantung dan barah,” katanya.

Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Kongres Saintifik Tahunan MPA ke-29 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh di Primula Beach Resort di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw dan Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Datuk Dr. Jimmy Lee Kok Foo.

Bersesuaian dengan tema ‘Kanak-Kanak Berpenyakit Kronik’, Kongres MPA tahun ini yang disertai lebih 100 pakar dan doktor pediatrik dari dalam dan luar negara akan membincangkan isu-isu saintifik perubatan berkaitan penyakit-penyakit kronik.

Menurut Zulkifli, selain sikap ibu bapa, rutin hidup kanak-kanak yang lebih ke arah ‘bersenang-lenang’ seperti bermain komputer dan video, menonton televisyen, pengambilan makanan berlemak dan berkalori tinggi serta kurang melakukan aktiviti fizikal turut menyumbang kepada masalah obesiti.

Katanya, berdasarkan data rasmi Kementerian Kesihatan kadar obesiti kanak-kanak negara ini adalah 15 peratus, namun MPA percaya kadar itu lebih tinggi sekarang terutama di Kuala Lumpur dan Selangor yang mungkin mencecah sehingga 30 dan 40 peratus.

‘‘Data ini adalah hasil kajian rawak yang dilakukan pakar pediatrik terutama di Lembah Klang,” ujarnya.

Sementara itu, Idris dalam ucapannya berkata, Terengganu mencatatkan kadar kematian bayi baru lahir tertinggi di negara ini iaitu 6.8 kes bagi setiap 1,000 kelahiran.

“Kekurangan perkhidmatan pediatrik di hospital dan pusat kesihatan di negeri ini menyebabkan kadar kematian bayi baru lahir di Terengganu tinggi,” ujarnya.

Beliau memberitahu, ketika ini hanya terdapat lima pakar, 20 doktor dan 160 jururawat pediatrik di HSNZ dan jumlah itu tidak mencukupi berbanding 400,000 kanak-kanak daripada sejuta penduduk negeri ini.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0609&pub=utusan_malaysia&sec=muka_hadapan&pg=mh_10.htm&arc=hive&arc=hive

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...