Selamat Tinggal Dunia Obesiti

Mengalami masalah obesiti, Ranjit Kumar C Suyambugan sudah bosan didiskriminasi. Ejekan mengenai saiz badannya adalah perkara biasa tetapi dia merupakan seorang yang sentiasa berfikiran positif. Namun, dia sedar berat badan yang berlebihan harus dikurangkan. Jika tidak, kelak akan timbul masalah kesihatan.
Berat badan yang mencecah 220 kilogram mesti dikurangkan lebih-lebih lagi selepas dia disahkan menghidap diabetes dan memerlukan 32 unit insulin sehari.

“Jika dulu saya makan nasi banyak. Malah saya wajib makan nasi berlauk untuk sarapan pagi. Tambahan pula makanan boleh dibeli di mana-mana sepanjang hari dan harga pun murah.

”Disebabkan tidak mengawal pemakanan, kandungan gula dalam badan saya juga meningkat,” ujarnya ketika ditemui di Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Subang, Selangor baru-baru ini.
Atas nasihat Pakar Surgeri Am pusat perubatan itu, Dr. Cha Kar Huei, Ranjit kemudiannya menjalani pembedahan pintasan perut (gastric bypass) pada Oktober 2008.


Selepas dua tahun, Ranjit berjaya mengurangkan berat badan kepada 110 kilogram.

Perbezaan ketara mula dirasai apabila dia terpaksa mengurangkan kuantiti dan jenis makanan yang diambil.
“Selepas pembedahan saya tidak boleh ambil makanan berbentuk bijian, ketul atau yang keras. Saya perlu makan makanan yang lembut seperti bubur. Dalam pada itu, perut saya sendiri tidak boleh menerima makanan.

”Jika saya paksa makan juga, saya akan memuntahkan semula makanan itu. Akhirnya, saya yang dulu terlebih makan, kini mengalami kekurangan zat makanan yang lain.
”Justeru, saya perlu mengambil vitamin-vitamin tambahan untuk menampung kekurangan tersebut,” katanya.

Menjalani kehidupan biasa

Selepas lebih setahun mengikuti program diet, kini hidup Ranjit mula berubah sepenuhnya.
Sejumlah 110 kilogram diturunkan selepas pembedahan sedikit sebanyak memberi keyakinan kepadanya.
Ranjit menjalani kehidupan biasa tetapi masih perlu melakukan pembedahan pembuangan lebihan lemak pada badannya. Masih bekerja, Ranjit kadang-kadang meluangkan masa bersama keluarga dan kawan-kawan.

“Cuma, apa yang melucukan, tabiat lama sewaktu gemuk masih terbawa-bawa kerana saya terlupa bahawa tubuh saya sudah tidak seperti dulu.

“Bayangkan dahulu saya duduk menyilang kaki pun susah dan mengikat tali kasut, saya perlu meletakkan kaki ke atas satu tempat. ”Ini kerana saya tidak mampu menundukkan badan atau berlutut disebabkan fizikal yang terlalu gemuk. Lebih menyedihkan dulu, kerusi di pejabat saya sering patah,” ujar Ranjit sambil memberitahu kini kadar denyutan jantungnya mencatat bacaan yang lebih baik.

Namun, apa yang lebih menggembirakan dia kini boleh memakai pakaian berjenama tanpa rasa malu. Jika dahulu, baju atau seluar yang dipakainya perlu ditempah.

“Saya masih boleh minuman kegemaran, Nescafe dengan syarat mengurangkan gula dan mencuba pelbagai jenis sup. Semuanya mudah untuk saya kerana tidak perlu menempah lebih tempat duduk ketika menaiki kapal terbang atau pun ketika duduk di restoran atau kedai kopi,” katanya sambil tersenyum.

Gembira

Ranjit juga gembira dan sedia berkongsi cara mengurangkan berat badan. Dia seronok dapat menceritakan pengalaman dengan mereka yang mempunyai nasib serupa iaitu berdepan masalah obesiti .
Menanam impian mendapatkan berat badan ideal memerlukan kesungguhan dan menuntut pengorbanan yang tinggi.

“Sebenarnya, faktor utama yang mampu menyumbang ke arah penurunan berat badan adalah kombinasi amalan pemakanan dan cara hidup sihat yang perlu diseimbangkan dengan aktiviti kecerdasan.

”Jika tidak dapat mengawalnya, anda mungkin bernasib baik jika dapat melakukan pembedahan pintasan perut seperti saya.

“Jangan memilih jalan singkat seperti pengambilan pil kurus atau pembedahan sedut lemak yang memang ketara hasilnya dalam tempoh jangka pendek kerana ia terbukti bukan cara selamat untuk kurus .

“Sebaliknya, berusahalah untuk kurus dengan nasihat daripada pakar atau hospital selain mengamalkan pengambilan makanan berkhasiat dan bersenam. Itu cara paling ideal yang tidak boleh dinafikan,” tambahnya.

Bagi Ranjit, paling tidak seseorang itu perlu bersenam setiap hari walaupun ia hanya satu pergerakan ringkas kerana dengan cara itu, mereka dapat mendidik diri menjadi individu yang cergas. Pengalaman lalu banyak memberi pengajaran buatnya agar mengawal pemakanan dan membanyakkan pergerakan fizikal. Ini kerana tanpa disedari, obesiti menjadi punca segala penyakit.

Kredit: Utusan & Flickr

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...