3.6 Bilion Penduduk Dunia Gemuk


GEMUK, obesiti dan langsing – tiga perkataan yang begitu sinonim untuk menggambarkan bentuk badan seseorang individu.

Satu kajian menunjukkan, kegemukan dan obesiti kini menjadi masalah di seluruh dunia, di mana 3.6 bilion penduduk bumi mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) 23.4, paras yang dikategorikan sebagai terlebih berat badan.

Malah, di Malaysia sendiri, hasil Kajian Kesihatan dan Kematian Kebangsaan (NHMS) pada tahun 1996 menunjukkan, 15.1 peratus lelaki dan 18 peratus wanita daripada kira-kira 21 juta penduduk negara ini berada dalam kategori berkenaan.

Daripada jumlah tersebut, tiga peratus di kalangan lelaki dikelaskan sebagai obes, sementara wanita pula 5.7 peratus.

Menurut Pakar Perunding Perubatan dan Kardiologi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Kol. (B) Dr. Abd. Rahman Mohd. Ali, kajian yang dijalankan juga mendapati, masalah kegemukan dan obesiti di kalangan remaja turut menunjukkan peningkatan ketara kepada enam peratus pada 1997 berbanding satu peratus pada tahun 1990.

Beliau berkata, kesedaran di kalangan mereka yang dikatakan sebagai gemuk dan obes untuk mendapatkan rawatan bagi mengurangkan berat badan bagaimanapun semakin meningkat.

“Kebanyakannya mengurangkan berat badan disebabkan faktor imej iaitu hendak menjadi lebih langsing dan bukannya mahu mengurangkan risiko akibat berlebihan berat badan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu pertemuan di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Obesiti diukur dengan Indeks Jisim Tubuh (BMI) iaitu nisbah berat dalam kilogram (kg) dibandingkan dengan ketinggian dalam meter (m) seseorang.

Dr. Abd. Rahman berkata, mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes, terdedah kepada pelbagai risiko seperti:

* masalah jantung.

* kencing manis.

* penyakit sendi atau tulang.

* tekanan darah tinggi.

* gout.

* batu hempedu.

* penyakit hati.

* sukar mendapat zuriat.

* sukar tidur.

* masalah sosial seperti sukar mendapat kerja dan dipinggirkan.

Sehubungan itu katanya, terdapat beberapa kaedah untuk melangsingkan badan dan terbaik adalah melalui diet, latihan dan perubahan tingkah laku.

Selain itu, bagi mereka yang dikelaskan sebagai obesiti melampau, pengurangan berat badan juga boleh dilakukan melalui pembedahan melalui kaedah lencongan aliran pemakanan, mengikat tali perut atau gusi.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pengurangan berat badan sebaiknya dilakukan secara terancang dan tidak mendadak.

‘‘Lazimnya, mereka yang mengalami penurunan berat badan dalam masa singkat akan menghadapi masalah seperti tidak boleh menyesuaikan perubahan tersebut dan tidak boleh mengekalkan bentuk badan yang baru sehingga menyebabkan berat badan kembali naik secara mendadak,’’ katanya.

Mengulas pengambilan ubat pelangsing badan pula, Dr. Abd. Rahman berkata, ia sepatutnya digunakan sebagai kaedah sampingan untuk mengekalkan bentuk badan yang kembali langsing.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0219&pub=utusan_malaysia&sec=laporan_khas&pg=lk_04.htm&arc=hive&arc=hive

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...