Individu yang mengalami masalah lebihan berat badan dan obesiti hanya mempunyai dua cara terbaik untuk menguruskan badan.
Langkah yang perlu diambil ialah mengambil makanan seimbang dan melakukan senaman secara konsisten.Pakar Pemakanan dari Pusat Maklumat Pengurusan Berat Badan Bhd., M. Premila berkata, ini kerana usaha menguruskan badan perlu ditumpukan kepada proses pengurangan lemak badan dan bukannya air atau otot badan.
Menurut beliau, langkah menguruskan badan yang terbaik apabila seseorang
dapat mengurangkan berat badan satu kilogram setiap minggu.``Individu
perlu ingat, penurunan berat badan dengan kurang mengambil air akan
menjadi sia-sia kerana ia hanya sementara,'' katanya ketika dihubungi,
di sini.
Beliau memberitahu, kegemukan berlaku disebabkan ketidakseimbangan
tenaga dalam badan.Katanya, ia berlaku apabila pengambilan tenaga
berlebihan daripada penggunaan tenaga seperti pengambilan makanan tinggi
kalori, lemak, gula, makanan segera, minuman berkabonat, hidangan
makanan yang bersaiz lebih besar. ``Jika pengambilan tenaga secara
berlebihan ini tidak digunakan oleh badan, maka akan mengalami
pertambahan berat badan,'' ujarnya.
Oleh itu, kata Premila, adalah sangat penting individu gemuk dan obesiti
mendapat nasihat pakar pemakanan dan doktor untuk memulakan langkah
pertama menguruskan badan. Jelasnya, langkah menguruskan badan dengan
cara menyekat makan, tidak makan, yo-yo diet dan makan snek yang
mengandungi kandungan lemak dan kalori yang tinggi akan membuat individu
tersebut gagal.
Sebaliknya, beliau menasihatkan mereka yang gemuk dan obesiti
mengamalkan cara gaya hidup sihat agar mendapat bentuk badan yang ideal
melalui cara pemakanan yang betul iaitu:-
* Makan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran.
* Lebihkan karbohidrat kompleks seperti bijirin bergandum penuh.
* Kurangkan makanan berlemak, tinggi gula dalam diet.
* Kurangkan pengambilan lemak tepu daripada lemak haiwan.
* Lakukan aktiviti fizikal atau senaman sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu, pada kadar 30 hingga 40 minit.
* Menjalankan aktiviti yang banyak pergerakan.
Bagaimanapun, tambahnya, jika seseorang yang obesiti dengan Indeks Jisim
Badan (BMI) melebihi 25 dan mempunyai masalah kesihatan, dinasihatkan
berjumpa doktor.
Oleh: AINUL ASNIERA AHSAN
No comments:
Post a Comment